Seorang guru sains di sebuah sekolah menengah di Lenggong, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas 19 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan cabul terhadap tiga pelajar di sebuah sekolah dan sebuah premis di sekitar Gerik pada September 2017 hingga Mac lalu.
Tertuduh, Wan Khairul Aznim Wan Zahari, 41, didakwa melakukan kesalahan termasuk meliwat dan oral seks terhadap dua pelajar lelaki berusia 14 tahun dan 17 tahun di antara jam 2 pagi hingga 11 malam pada 14 September 2017 hingga 25 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSSK) 2017 yang disebut bersama Seksyen 16 (1) akta sama kerana oral seks dan cabul.
Duda tanpa anak yang sudah berkhidmat selama 19 tahun sebagai guru itu juga didakwa pada 26 April lalu di mahkamah sama dengan 17 pertuduhan kerana melakukan kesalahan sama terhadap seorang pelajar berusia 15 tahun pada November 2016 hingga November tahun lalu dan mengaku tidak bersalah serta dibenarkan jiman keseluruhan sebanyak RM48,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang diwakili peguam Sharul Shabaath Ali pada hari ini juga mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Timbalan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan guru berkenaan tidak boleh mendekati kesemua mangsa.
Pihak pembelaan kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum kerana mangsa hanya bekerja sebagai guru dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan penjamin adalah adiknya yang hanya bekerja sebagai kerani swasta.
Sharul Shabaath juga memberitahu, tertuduh sudah tidak lagi bekerja serta tiada pendapatan sejak ditahan pada 11 April lalu ketika sedang mengajar dan tertuduh memohon izin mahkamah untuk mencagarkan geran tanah sebagai jaminan kerana tidak mempunyai wang tunai.
Rohaida menolak cagaran itu kerana mahkamah hanya menerima deposit tunai dan pihaknya menetapkan jaminan keseluruhan sebanyak RM38,000 bagi kesemua tuduhan dengan seorang penjamin serta tertuduh tidak dibenarkan mendekati kesemua mangsa.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 26 Jun ini bersama sebutan kes pendakwaan terdahulu tertuduh.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14(a) AKSSK 2017 serta tambahan penjara lima tahun lagi dan dua sebatan mengikut Seksyen 16(1) akta sama.
Manakala, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377B KK, guru berkenaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2krK22p
via IFTTT