'Nilai rampasan harta Najib mungkin melebihi Marcos' - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan bahawa nilai rampasan aset dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melebihi dari kekayaan mendiang Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dan isterinya Imelda, lapor MalaysiaKini.

"Saya rasa kita mungkin akan mencatat rekod mengagumkan dan melebihi (harta) Imelda dan yang lain-lain," kata Anwar memetik laporan dari Financial Times. 

Jelas Anwar, kadar salah guna kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini 'sangat mengejutkan' terutama apabila ramai pemimpin parti berkenaan sibuk bercakap mengenai usaha membantu golongan miskin. 

"Semua mereka itu agaknya sakit minda," katanya dalam temubual berkenaan yang disiarkan ketika polis masih menyiasat Najib berhubung skandal 1MDB. 

Terdahulu, polis merampas sejumlah beg tangan, barangan kemas, wang tunai dan pelbagai aset lain dalam serbuan dan penggeledahan yang dijalankan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di kediaman Najib dan beberapa buah lagi rumah yang lain sejak hari pertama ramadan. 

Hasil rampasan 72 beg wang tunai dan 284 kotak beg tangan berjenama mewah yang terlalu banyak itu menyebabkan polis terpaksa menggunakan lima buah lori untuk mengangkutnya. Media juga melaporkan polis merampas lebih 100 kilogram jongkong emas dan wang tunai bernilai lebih RM100 juta dari kondominium di Pavillion Residence Kuala Lumpur dipercayai milik individu bergelar Tan Sri. 

Pasangan Marcos dan Imelda yang disebut oleh Anwar merupakan bekas Presiden Filipina sejak 1965 sebelum diguling oleh rakyat pada 1986, memaksa keluarga berkenaan melarikan diri ke Hawaii. 

Marcos kemudian mati di dalam buangan pada 28 September 1989 yang ketika itu berusia 72 tahun dan Imelda kembali semula ke Filipina bersama tiga orang anaknya. 


Difahamkan, pasangan itu telah menyalahgunakan duit rakyat antara US$5 bilion hingga US$10 bilion sepanjang tempoh 20 tahun berkuasa. 

ARTIKEL BERKAITAN:


from The Reporter https://ift.tt/2GxmHER
via IFTTT