17,000 penjawat awam lantikan politik terima habuan sempena Aidilfitri - PM


Kerajaan sangsi terhadap kesetiaan pegawai kerajaan yang didapati mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, termasuk secara terbuka berkempen untuk Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebagai penjawat awam, mereka tidak seharusnya terbabit dalam sebarang kempen parti politik.

“Salah satu masalah pentadbiran yang kita hadapi sekarang, ramai pegawai kerajaan dengan sukarela atau tidak ambil bahagian dalam PRU, berkempen untuk BN.

“Kita berasa sangsi tentang kesetiaan sama ada mereka masih pegang pada kesetiaan kepada kerajaan baru. Ini mengganggu pentadbiran kerajaan kerana kita mahu mentadbir ikut cara kita dan manifesto kita untuk laksana janji kita,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, di Petaling Jaya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak mahu menghukum secara sambil lewa kerana itu bukan caranya, namun mengakui ada dalam kalangan mereka terlalu taksub dengan agenda kerajaan terdahulu.

“Ada segelintir penjawat awam yang memakai baju warna biru untuk berkempen,” katanya.

Meskipun begitu, seramai 17,000 penjawat awam lantikan politik yang ditamatkan perkhidmatan sebelum ini akan menerima habuan sempena Aidilfitri.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak pernah bersikap zalim kepada mereka, biarpun sebelum ini mereka berkhidmat untuk kepentingan parti lawan.

"Mereka akan dapat habuan hari raya, tetapi kita dapati 17,000 adalah lantikan politik dan datang daripada parti lawan, bukan kerajaan, justeru kena ambil tindakan," katanya.

Tambahnya, kebanyakan jawatan disandang mereka tidak diperlukan dalam melicinkan operasi pentadbiran kerajaan, sebaliknya lebih kepada membantu Barisan Nasional (BN).

"Jawatan itu tiada kerja, sebaliknya berkhidmat untuk parti, malah ada penjawat kerajaan yang mencemarkan diri mereka dengan mengambil bahagian dalam kempen politik. Kita ada (bukti) video untuk kegiatan mereka," katanya.



from The Reporter https://ift.tt/2su2hb2
via IFTTT