Dedah beban hutang tinggi, wujud Tabung Harapan Malaysia alasan untuk tangguh janji-janji PRU14 - KJ
Ketua Pemuda UMNO hari ini mempersoalkan penubuhan Tabung Harapan Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lalu.
Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana kenyataan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa penubuhan tabung berkenaan bagi mengurangkan beban hutang negara yang terlalu tinggi, tidak memberi gambaran yang menyeluruh.
"Bagi kami di Barisan Nasional (BN), itu (beban hutang terlalu tinggi) bukan gambaran yang menyeluruh. Gambaran yang menyeluruh perlu mengambil kira kemampuan untuk membayar hutang tersebut, yang tak disebut oleh kerajaan.
"Kami yakin walaupun hutang rasmi kerajaan lebih RM600 bilion dengan tanggungan liabiliti lain sampai RM1 trilion tapi dari segi perhidmatan itu, BN rasa kerajaan mampu membayar hutang tersebut," katanya dalam sidang media pada majlis berbuka puasa bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO seluruh negara di Kuala Lumpur hari ini.
Bekas menteri Belia dan Sukan itu juga mendakwa tindakan Kerajaan PH mendedahkan negara menanggung beban hutang RM1 trillion itu adalah alasan bagi menangguhkan janji-janji manifesto PRU14 mereka.
"Ada janji-janji yang ditangguhkan disebabkan alasan hutang yang terlalu besar. Itu naratif mereka dan naratif itu kami tidak setuju sebab bagi kami hutang itu tidak menggambarkan keadaan yang menyeluruh dari segi hutang kerajaan yang sebenar dan kemampuan kerajaan dan tuntutan hutang kerajaan.
"Jadi mereka menggunakan itu (alasan beban hutang RM1 trillion) untuk menangguhkan beberapa janji-janji yang mereka tahu tak dapat dibuat," katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu tidak menentang penubuhan tabung tersebut bagi menunjukkan solidariti dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang, tetapi tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan PH yang menggunakan alasan bebanan hutang RM1 trillion sebagai alasan.
Malahan, Khairy berkata, Kerajaan BN sebelum tewas PRU14 pada 9 Mei lalu juga mempunyai perancangan untuk membayar hutang tersebut.
"Tapi jangan sampai kita menggunakan tabung itu sebagai alasan kerana kononnya beban hutang ini tak dapat dikawal.
"Bagi saya beban hutang ini walau nampak besar tapi memang dapat dikawal, sebelum ini pun kita ada perancangan untuk pengurusan (membayar) hutang tersebut," katanya.
Sumber: MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/2JgD7Ht
via IFTTT