"Impian menjadi kenyataan," demikian tulis Afiq Azuwan yang berkongsi gambar perbezaan dirinya selepas dan sebelum yang sangat ketara dan jauh berbeza saiz badannya.
Menurut Afiq, kisah di sebalik impiannya mahu menguruskan badan itu juga mempunyai cerita suka dukanya sendiri di mana dia pernah dihina, dicaci dan bermacam-macam lagi perkara yang dihadapinya.
Namun dengan semangat mahu berubah dalam dirinya yang begitu kuat, membuatkan dia tidak mengendahkan semua kata-kata negatif itu dan hasilnya, dia berjaya untuk berubah.
BILA diceritakan bertapa peritnya perjalanan hidup ini, hanya Allah sahaja yang tahu betapa kuatnya hati ini terus berjalan. Dihina, dicaci, dimaki dan macam-macam lagi yang saya hadap. Tetapi tak apa, Allah itu ada. Sejauh mana kita berjalan, selagi masih berjalan, Allah masih bersama kita.
Orang gemuk ini ada satu semangat yang orang lain tak ada sebenarnya. Nak tahu semangat apa? Semangat untuk berubah!
Saya dah lalui macam-macam walaupun perjalanan hidup saya baru 21 tahun. Interview kena reject, cinta ditolak, orang tak nak kawan dan macam-macam yang saya rasa. Tapi tak apa, saya kena kuat juga macam mana pun demi diri saya sendiri.
Saya ni dah macam-macam benda saya buat. Jaga makan, pergi gym, makan ubat, jaga makan gila-gila punya. Tetapi satu kesan pun tak nampak. Tipulah kalau tak teringin nak bergaya seperti orang lain. Saya pun manusia yang ada perasaan untuk memajukan diri.
Tetapi selepas enam usaha saya, Alhamdulillah ada perubahan kian hari kian menjadi atas dorongan hati yang kuat dan sokongan dari keluarga dan kawan-kawan rapat.
Tak kisah kita nak berubah buat treatment sedut lemak sekali pun, janji kita sendiri usaha, bukan orang lain. Hidup ini macam roda, selagi tak ada halangan, dia akan terus berjalan.
Saya nak beritahu pada semua orang gemuk yang ada niat di hati nak turunkan berat badan, teruskan usaha sampai kita mencapai apa yang kita nak! Buktikan kepada orang-orang yang selalu memandang rendah pada kita ini!
Pesanan untuk orang yang selalu menghina ini, tolong sedar diri sikit. Hampa pun tak sempurna mana nak menghina orang gemuk seperti kami. Cermin diri kita dulu.
Sejauh mana kita berjalan, ingat Allah, ingat keluarga, ingat kawan-kawan yang selalu ada dengan kita masa kita dipandang rendah oleh semua orang. Jadikan lima waktu sebagai tanggungjawab hidup kita dan penguat iman kita.
Bagi yang mahu bermula turunkan berat badan, tentang target berapa lama, itu tolak ketepi dulu. Fokus pada usaha kita dulu. Pemulaan sewaktu saya buat, saya cuba tinggalkan nasi. Kenapa perlu tinggalkan nasi? Sedangkan nasi boleh makan tetapi kuantiti sikit?
Kadang-kadang iman sesetengah orang tak cukup kuat. Ambil nasi kuantiti sedikit, last-last lauk sedap-sedap pula. Menambah lagi nasi. Musnah terus impian.
Bagi saya, bila saya block nasi, menu itu boleh ditukarkan kepada menu yabg lebih sihat seperti Oat, buah-buahan, isi ayam, sayur-sayuran, bijirin. Menu yang kita nak makan, kita boleh reka dan olahkan sendiri.
Saya tinggalkan minuman manis, minuman berais, minuman berkarbonat dan saya banyak minum air kosong sebab ia mempunyai 1,001 khasiat untuk tubuh badan kita.
Start jam 7 malam, saya dah hentikan pengambilan makanan berat. Sebab apa jam 7 malam? Misal kata kita dinner jam 9 malam, jam 10 atau 11 malam mesti dah nak tidur kan? Sempat tak makanan berat yang kita makan itu nak dicerna dengan sempurna? Mesti tak sempat, kan? Pencernaan yang tersekat itulah yang membuatkan badan kita susah nak turun dan berat semakin naik.
Pada hujung minggu, saya selalu bersenam untuk mengeluarkan peluh dan pastikan badan kita mempunyai stamina yang kuat.
Bagi mereka yang risau tentang target korang nak turun cepat itu, hentikanlah niat nak memaksa diri, yang ruang untuk badan kita turun dengan sihat. Jangan terlalu memaksa untuk seksa badan bagi turun lebih cepat. Biar usaha kita sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Betul tak?
Tak kisah apa pun usaha kita, janji terus bersemangat, positifkan diri. Jangan berputus asa. Tak ada orang lain yang boleh ubah diri kita melainkan diri kita sendiri. Biar usaha kita hasilnya lambat, tetapi badan kita dalam keadaan sihat.
Sumber: @iamafiqazuwan
from The Reporter https://ift.tt/2lvcMrm
via IFTTT