Kesalahan kecil saja (RM400), tak perlu minta bantuan Interpol - Jamal


"Ia hanyalah merupakan kesalahan kecil yang saya lakukan contohnya, seperti memprotes pesta arak dengan memecahkan botol arak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menggunakan penukul iaitu kesalahan tersebut hanya didenda tidak melebihi RM400," demikian kata Jamal Md Yunos kepada Sinar Harian. 

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata demikian selepas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mahu meminta kerjasama dengan polis luar termasuk pihak Interpol bagi mengesan Jamal yang dipercayai sudah melarikan diri ke Indonesia. 

Bagi Jamal, kerjasama itu di antara tiga pihak berkenaan hanyalah membuang masa dan tidak perlu dilakukan kerana dia masih berada di dalam negara ini. 

"Kesalahan-kesalahan lain pula contohnya, mengadakan perhimpunan haram hanya didenda RM100," katanya menerusi rakaman suara yang dihantar kepada kumpulan media. 

Walau bagaimanapun, Jamal memberitahu, perkara itu terpulang kepada pihak kerajaan untuk meminta bantuan pihak berkuasa dari luar atau tidak. 

"Saya masih lagi berada di dalam negara dan Ketua Pengarah Imigresen pun telah menyatakan saya belum lagi dikesan di mana-mana pintu keluarga negara.

"Saya tidak ada masalah di mana pun mereka nak katakan saya berada, yang paling pentingnya saya tidak melanggar undang-undang negara," katanya. 

25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum proses jaminannya diselesai oleh peguamnya. Jamal kemudian mendakwa dia terpaksa keluar dan mengejar masa kerana mempunyai urusan di Pejabat Tabung Haji dan berjanji akan datang ke balai untuk menyelesaikan urusan jaminan tersebut.

Tetapi, tularnya video Jamal di ladang kelapa sawit pula mendakwa dia dianiaya oleh beberapa pihak yang didakwa berdendam dengannya dan Jamal turut meminta perlindungan dari Tan Sri Muhyiddin. 

Ekoran keengganan Jamal memberikan kerjasama menyebabkan pihak polis terpaksa memohon waran tangkap dari mahkamah untuk menahan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu. 



from The Reporter https://ift.tt/2JfCJpm
via IFTTT