'Rasa tidur tak lena, rasa macam diperhatikan' - Isteri tertekan alami gangguan mistik dari ibu mertua


Lain dari kebiasaannya. Laman perkongsian luahan hati golongan isteri berkongsi cerita dari seorang wanita ini yang mendakwa sering mengalami gangguan di rumah. Bermula dari gangguan kecil, sehingga gangguan yang agak berat memaksa mereka meminta pertolongan mereka yang berkebolehan menghalau gangguan tersebut. 

Malangnya, ia tidak bertahan lama bila mana si ibu mertua kembali melakukan amalan-amalan lamanya menyebabkan gangguan itu datang kembali. Si isteri mengakui dia amat tertekan dan mengalami tekanan mental. 

SALAM. Saya seorang suri rumah, belum ada anak (belum rezeki). Dulu sebelum kahwin, saya kerja sebagai kerani. Saya tinggal bersama suami dan mak mertua di Taman Guru, Kuantan, Pahang. Bapa mertua saya meninggal di Kelantan pada tahun 2008 ketika mengubat orang. Suami kata ayahnya sakit jantung. Saya ini pula anak yatim piatu, ayah dan bonda saya dah lama tak ada. Saya cuma ada suami dan mak mertua saja sekarang ni.

Suami saya kerja sendiri, busy memanjang saja dia. Masa untuk saya memang tiada. Kalau ada pun sekejap-sekejap saja. Saya banyak bersama dengan mak mertua saya la. Saya nak cerita sikit pasal mak mertua saya. Bukan niat nak buruk-burukkan atau aibkan mak mertua saya, just nak meluahkan saja. Kadang-kadang saya rasa dah nak mental pun ada.

Mak mertua saya ini cantik jugalah orangnya walaupun umurnya sudah hampir 60 tahun. Suami sayalah satu-satu anak tunggalnya. Bila di depan suami saya, mak mertua saya berkelakuan seperti biasa. Tapi bila suami saya sibuk di luar, bulu tengkuk saya mula meremang. Kadang-kadang saya nak saja lari dari rumah. Bukan apa, mak mertua saya ini memang menyeramkan.

Mak mertua saya solat pun tak, tapi bila Subuh saja dia mesti bangun. Saya bila bangun dari tidur mesti minum air suam dulu di dapur. Bila nak pergi dapur, saya akan lalu depan bilik mak mertua saya sebab bilik mak mertua saya berdekatan dengan dapur. 

Saya selalu dengar dia terkumat kamit dalam bilik. Tak berapa jelas pun apa yang dibebelnya. Tapi saya selalu dengar mak mertua kata "menetaplah abadi". Apa yang abadi pun saya tak tahu. Saya nak slowtalk dengan suami pasal ini, tapi suami selalu tak layan saya. Tak habis-habis cakap, 

"Awak nak kata mak abang jahat la?"

Suami saya kerja petang, balik pagi-pagi buta. Bila suami saya pergi kerja saja mulalah mak mertua saya ambil sikat dan segelas air kosong. Dia pergi duduk depan pintu utama, dia sikat rambutnya sambil menyanyi lagu Siam (lagu ini sangat aneh). Sesekali mak mertua akan celup sikat dalam gelas dan sambung sikat rambut dia. Menitis-nitis air atas lantai.


Sakit hati saya tengok lantai saya basah, (takut ada yang tergelincir nanti). Kerana sakit hati, saya snap gambar mak mertua tengah sikat rambut dan send kat WhatsApp suami. Suami selalu ubah topik, bertambah sakit hati saya. 

Saya pernah tanya mak mertua kenapa dia buat begini setiap hari. Mak mertua pandang saya dengan renungan tajam mata merah, tertunduk saya tak mampu nak balas renungan itu. Cepat-cepat saya masuk ke dalam bilik.

Ada sekali itu, saya betul-betul terkejut. Saya tengah tidur petang sebab penat uruskan rumah. Saya rasa tidur saya tak lena, saya rasa macam diperhatikan saja. Saya celik saja mata, mak mertua saya tengah tercegat berdiri depan katil saya sambil tersengih-sengih. Saya pun apa lagi, menjerit la! 


"Apa Umi buat dalam bilik Ana ni?!"

Bukan saya menjerit tengking, tapi menjerit terkejut. Mak mertua saya kata dia nak pastikan menantu dia selamat dari ancaman Ifrit dan Kusyroni. Saya sampai sekarang tak faham Kusyroni itu apa benda.

Puas Google, tak jumpa. Lepas saja mak mertua saya kata macam tu, mak mertua saya keluar bilik perlahan-lahan sambil kata, "Maafkan Umi, Zaleha".

Saya masa itu nak menangis, nak menjerit, nak ketawa semua ada. Lagipun nama saya bukan Zaleha! Saya pernah tanya suami siapa Zaleha, tapi suami kata tak tahu. Saya pun kurang pasti mak mertua saya panggil saya Zaleha atau Saleha. Sebutan mak mertua saya bukan jelas sangat. Saya pun dah pening dengan semua ini.

Time sebelum azan maghrib adalah time ngeri buat saya. Mana taknya, masa itulah mak mertua saya akan makan gelojoh ya amat. Bukan makan di meja makan, tapi makan dalam biliknya. Mak mertua bawak dua pinggan nasi yang sangat banyak dan masuk bilik. Berbunyi-bunyi mak mertua saya makan gelojoh. Apa yang ngeri? Saya selalu dengar suara garau cakap, 

"Mana cukup!!"


Mustahil itu suara mak mertua saya sebab mak mertua saya tengah makan sambil berbunyi "cap cup cap cup". Lepas saja makan, mak mertua saya akan berdiri tegak di halaman belakang rumah. Saya bengang juga dia bukak pintu dapur waktu maghrib, sebab saya takut nyamuk masuk. Bila azan dilaungkan, dia still berdiri tegak sambil matanya cegil macam nak tersembul. Habis saja azan, tangannya dikibas-kibas, entah apa yang dikibasnya pun saya tak tahu.

Lepas selesai azan maghrib, mak mertua saya akan masuk bilik, kunci pintu dan padam lampu. Terus senyap tiada bunyi dah. Mak mertua saya sudah tidur. So, mulalah episod gangguan dalam rumah pula. Selepas maghrib itu, saya selalu dengar macam bunyi orang ketuk tingkap dapur guna kuku, Ting! Ting! Ting.


Bila saya pergi tengok, tak ada apa-apa pun. Bilik tidur saya di main bedroom, dalam bilik saya ada bilik air. Saya tengah baring-baring atas katil main smartphone, ternampak lembaga rambut panjang cecah lantai berpakaian putih lusuh penuh kesan tanah masuk bilik air saya. Siap hempas pintu lagi. Saya ingat mak mertua saya buat hal lagi. Bila pergi tengok, tiada orang di dalam. Tapi dalam bilik air bau hapak dan hanyir sangat-sangat.

Ada sekali itu di waktu malam, saya nak pergi basuh kaki di luar rumah (halaman saya ada paip). Masa nak menuju ke arah paip, saya tunduk lalu bawah kain yang disidai di ampaian. Selepas basuh kaki, baru saya sedar yang saya tak letak ampaian di situ dan saya tak ada sidai kain pun di ampaian. 1 lagi ampaian saya jenis moden, mana boleh lalu ikut bawah. 

Bila saya pandang keliling, nothing, tak ada kain pun. Mana datangnya kain yang saya lalu di bawahnya tadi? Ampaian pun elok saja ada di porch rumah. Memang kat porch itu sajalah saya selalu letak ampaian pun. Saya dah terbayang cik pon dah masa itu.


Lembaga berkain putih lusuh kotor rambut panjang cecah lantai selalu berlegar-legar di rumah saya semasa ketiadaan suami. Kadang-kadang lembaga itu berdiri tegak di belakang halaman rumah tempat mak mertua saya selalu berdiri masa maghrib. 

Kalau suami saya tak balik rumah langsung sebab ada kerja di negeri lain, lagi parah gangguan dia. Siap saya tengah tidur dibalingnya guli atas lantai bilik saya. Berterabur guli banyak-banyak dalam bilik saya. Siapa main guli dan dari mana datangnya guli banyak-banyak? Takkan mak mertua saya baling pula? Buang tebiat ke? Padahal saya dah kunci pintu dah. Terpaksa saya kutip satu-satu dan buang dalam tong sampah bilik. Guli-guli yang termasuk bawah katil saya, saya tak kutip, lantaklah. 

Saya pernah terbaca di Facebook yang bunyi guli di rumah bukanlah gangguan mistik. Tapi ianya berlaku kerana perubahan tekanan udara apa entah. Tapi kalau dah dibalingnya guli banyak-banyak macam ini depan mata, bukan mistik lagi ke ha? Nasib saya tak ada anak kecil, kalau tak mesti dia makan guli-guli itu.

Kes yang ini lagi berat. Masa itu pukul 8 nak ke 9 malam. Saya keluar bilik, saya tengok mak mertua saya pakai telekung sambil tenung TV yang tak dibuka. Dekat sini saya ada 3 persoalan. 
  • Mak mertua saya tak pernah solat, mana pula dia dapat telekung?
  • Kenapa mak mertua saya tengok TV yang tak dibuka?
  • Mak mertua saya tak pernah keluar bilik pada waktu malam (entah macam mana mak mertua buang air). 
Saya panggil mak mertua saya, "Umi, Umi buat apa tu?".

Langsung tak diendahnya. Saya dengan meremangnya terus masuk bilik, saya ambil smartphone saya. Saya keluar balik, mak mertua masih berkeadaan seperti tadi (saya tak nampak muka sebab saya di belakang mak mertua). Saya terketar-ketar buka aplikasi camera dan rakam aksi aneh mak mertua saya selama 20 saat. Siap zoom lagi. 

Selepas rakam, saya cepat-cepat masuk bilik. Saya tengok rakaman tadi, tak ada pula orang di depan TV dalam video itu. Saya dah seram dah. Saya call suami suruh cepat balik, hantu dah jadi gila saya cakap. Suami kata, saya yang gila. Kecil hati saya suami cakap macam tu.

Pukul 10 lebih, saya keluar bilik, saya tengok dah tak ada apa-apa depan TV, tapi saya tengok pintu bilik mak mertua terbuka luas. Saya dengar bunyi bising di dapur, saya pergi jenguk dan saya nampak mak mertua tengah bersilat macam orang muda. Mulutnya terkumat kamit sebut nama Kusyroni. 

Tiba-tiba pintu utama rumah saya diketuk dengan kuat. Saya yang ketakutan terus berlari pergi buka pintu. Saya ingat siapalah tadi, rupanya suami saya bersama seorang ustaz. Saya terus peluk suami. Suami kata, "Ini abang bawa kawan abang ustaz Syafiq dari Balok. Dia boleh tengok-tengokkan rumah kita ini". 

Saya menangis-nangis sambil kata yang masalahnya bukan rumah ni, tapi Umi. Saya tunjuk dapur sambil saya lekapkan muka di dada suami. Suami suruh saya cari tudung, suruh saya tutup aurat.


Malam itu sangat teruk, mak mertua saya kerasukan, tenaganya macam lelaki! Mengamuk-ngamuk dia sambil jerit, "Menetaplah abadi!". 

Setelah berjam-jam ustaz ubatkan mak mertua saya, semuanya beransur pulih. Suami saya tak banyak komen pasal ini, dia diam saja. Bila saya cakap pasal ini, dia kata jangan disebut-sebut lagi. Apa yang Ustaz Syafiq beritahu suami saya pun suami saya tak beritahu saya. Lepas kejadian tu, mak mertua saya berkelakuan normal. Gembira saya. Tapi baru-baru ini mak mertua saya jadi balik.


Rutin yang dulu, mak mertua buat balik. Benda ini datang balik pada Khamis malam Jumaat. Saya dah puas mengadu pada suami. Suami suruh buat tak tahu saja. Saya dah nak mental dah ni. Gangguan itu datang balik. Lembaga berkain putih lusuh kotor rambut panjang cecah lantai kembali berlegar-legar di dalam rumah dan di luar rumah saya. 

Ketika saya taip kisah ini pun dalam keadaan tertekan dan stress. Sekarang ini saya tengah dengar mak mertua saya jerit panggil nama arwah suaminya berkali-kali sambil memaki hamun. Saya nak pergi tengok kejap. Bye salam.



from The Reporter https://ift.tt/2JuDfzY
via IFTTT