'Syed Saddiq jangan sibuk dengan urusan pemilihan UMNO' - Ketua Pemuda UMNO Pahang


Ahli Parlimen Paya Besar (BN) Shahar Abdullah memberi peringatan kepada Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Abdul Rahman agar tidak menyibuk dengan urusan pemilihan UMNO. 

Sebaliknya Syed Saddiq perlu fokus kepada janji-janji Pakatan Harapan (PH) untuk golongan muda. 

Ketua Pemuda UMNO Pahang itu berkata, adalah lebih baik Syed Saddiq menumpukan usaha untuk menaikkan namanya menjadi Menteri Belia dan Sukan bagi menunaikan pelbagai janji PH pada PRU14. 

Selain itu katanya, Ahli Parlimen Muar itu juga perlu menjawat jawatan itu bagi menumpukan usahanya membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bergaji RM4,000 ke bawah yang mengharapkan PH menunaikan janji mereka sebelum menang PRU14. 

"Syed Saddiq kena sedar ramai anak-anak muda juga ternanti-nantikan satu juta peluang pekerjaan dijanjikan Pakatan Harapan walaupun kerajaan baharu kini sedang sibuk bertungkus-lumus untuk menggambarkan ekonomi negara seakan-akan tenat.

"Ini kerana Syed Saddiq kena tunggu tidak lama lagi untuk saya bangkitkan, ungkit janji-janji Pakatan Harapan di Dewan Rakyat sebagai membawa penyesalan dan kekesalan anak muda mengundi Pakatan Harapan tempoh hari.

"Sebagai Ahli Parlimen, saya mahu bertanya kepada Syed Saddiq selaku bakal Menteri Belia dan Sukan mengenai apa beliau lakukan untuk anak-anak muda tanpa mengira bangsa dalam mengurangkan beban kos sara hidup, peluang pekerjaan dan segala yang pernah dijanjikan," katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq mendakwa UMNO masih terperangkap dalam masa silam dan berpegang kepada individu berusia bagi menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO. Kenyataan itu dibuat kerana ada beberapa pemimpin dan ahli UMNO berusia lebih 40 tahun menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO. 

Menurut Shahar lagi, adalah lebih baik sekiranya Syed Saddiq terus bersuara dalam PH untuk menegur pimpinan utama menunaikan janji manis mereka pada PRU14. 

"Daripada biar (Ahli Parlimen Setiawangsa) Nik Nazmi Nik Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi Menteri Belia dan Sukan, lebih baik Syed Saddiq yang jauh lebih muda menunjukkan taring kerana rekod kepimpinan Nik Nazmi tidak begitu menonjol walaupun pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Ingatlah, waima baru setahun jagung dalam politik, pemimpin Pakatan Harapan termasuk Syed Saddiq sedang dinilai masyarakat terutama anak-anak muda yang akan sekali lagi mengundi dalam masa lima tahun lagi," katanya.

Sumber: Harian Metro


from The Reporter https://ift.tt/2Jht6uo
via IFTTT