Bayi 10 bulan 2 terjatuh dari buaian di rumah pengasuh, meninggal dunia


Bayi lelaki berusia 10 bulan yang dilaporkan cedera parah di bahagian kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa, lapor Bernama

Naufal Amsyar Nabil Fikri, 10 bulan, meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi hari ini di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar. 

Bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, memaklumkan pemergian bayi tunggalnya itu telah pulang ke rahmatullah melalui aplikasi WhatsApp. 

"Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak saya Naufal Amsyar bin Nabil Fikri yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 pagi tadi," katanya. 


Pada Selasa lalu, Naufal dikejarkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan ketika dijaga oleh pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak. 

Kejadian yang menimpa Naufal itu turut dikongsi ibunya, Nuraziqah Rohmat di Facebook. 

"Assalamualaikum. Minta jasa baik rakan-rakan doakan anak saya. Dia sekarang dalam keadaan kritikal. Jasa dan doa kalian hanya Allah SWT saja yang dapat membalasnya. Ummi rindu Naufal sayang. Nauful kuat, ummi kuat. Naufal nyawa ummi," katanya. 

Nuraziqah menjelaskan, tempurung kepala anaknya retak, tisu bengkak dan pendarahan tersamuk di selaput mata. 


Hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati, terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri mangsa selain pendarahan di bahagian mata serta keretakan tempurung kepala. 

Menurut sumber Harian Metro, pengasuh terbabit pada awalnya memberikan alasan Naufal tersedak ketika diberi makan. Ketika ditanya adakah mangsa terjatuh, pengasuh itu mengatakan mangsa terjatuh dari buaian. 

Dalam kenyataan Nabil Fikri pada Khamis, dia difahamkan oleh pengasuh bahawa anaknya rebah selepas diberikan bubur yang dibekalkan oleh isterinya. 

Sebelum kejadian itu, Naufal juga dikatakan kerap merengek dan enggan dilepaskan apabila didukung menyebabkannya dia berasa tidak sedap hati. 

"Saya tidak menyalahkan pengasuh berkenaan dan reda dengan kejadian ini. Namun hanya mahu tahu cerita apa sebenarnya yang berlaku. 

"Pengasuh berkata, mata Naufal terbeliak dan tiada tindak balas. Pada mulanya dia mengesyaki Naufal tercekik ketika makan. Namun kami hanya tahu Naufal jatuh dua kali dari buaian selepas dimasukkan ke HPSF," katanya. 


Jelas Nabil, dia tidak begitu mengenali pengasuh berkenaan dan hanya menggunakan perkhidmatan asuhan pengasuh itu selepas isterinya bertanyakan perihal berkenaan di Facebook. 

Mangsa dijaga oleh pengasuh terbabit pada 28 hingga 30 Jun lalu dan 2 hingga 17 Julai lalu antara jam 8 pagi hingga 6 petang. Pada setiap hari Ahad, mangsa dijaga oleh ibunya, manakala Jumaat dan Sabtu dijaga oleh bapa mangsa. 

Pasangan berkenaan menyedari mangsa kerap menangis dan sukar tidur sejak 10 Julai lalu sebelum dimaklumkan pengasuh bahawa mangsa pernah terjatuh dari buaian sebanyak dua kali. 

Ekoran kejadian itu, pengasuh terbabit telah ditahan pada jam 12.15 pagi Khamis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atua penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


from The Reporter https://ift.tt/2LCP73Y
via IFTTT