'Saya pernah menangis dalam kereta macam orang gila selepas hantar suami' - Guru kongsi pengalaman peritnya PJJ
Di luar tampak kuat dan berani, tetapi di dalamnya siapa yang tahu mereka menanggung keperitan dan juga derita. Itu lah wanita. Sekuat mana pun dia mengharungi cabaran, lambat laun pasti tewas dengan situasi. Di sinilah mereka memerlukan sokongan dan dorongan dari orang sekeliling.
Kebelakangan ini, isu depressi atau kemurungan dalam kalangan wanita, terutamanya wanita yang bekerja seringkali dilaporkan. Lebih-lebih lagi isu ini melibatkan wanita yang tinggal berjauhan dengan suami, perkahwinan jarak jauh (PJJ).
Wanita ini, Wanney Kie berkongsikan di dalam status Facebooknya pengalamannya yang juga pernah mengalami tekanan kerja dan juga kehidupan.
PERNAH saya menangis dalam kereta macam orang gila lepas hantar suami naik bas.
Waktu kami PJJ. Selalu! Kadang-kadang anak saya tengok saya menangis, dia pun turut menangis dan meraung. Bila dia meraung, saya terus berhenti menangis sebab fokus pujuk dia. Kadang kami menangis sama-sama.
Pernah saya menangis ketakutan bila ada orang yang tak dikenali ekori kereta saya. Sampai satu masa saya tengok orang yang tak dikenali (jiran) senyum pun saya takut!
Pernah saya menangis sebab tertekan dengan tugasan di sekolah. Saya guru baru, tahun pertama mengajar, macam-macam yang saya tak tahu dan tekanan itu tak mampu nak cerita. Itu belum lagi time dengar Nazir nak datang memantau. Kadang-kadang saya menangis di talian mengadu kat suami sampai sakit kepala! Last-last tertidur.
Pernah dulu rasa sangat penat! Bila terpaksa ulang alik ke kampung (time anak di kampung) dengan angkat stok susu untuk anak bawak naik bas. Jiwa tak tenang takut susu rosak. Itu belum lagi kalau mak bagitahu anak tak sihat. Allah!
Pernah saya balik kampung hari rabu lepas sekolah terus cari tiket bas sebab anak masuk hospital. Sekolah Khamis Jumaat?? Saya dah tak kisah orang atas nak cop saya apa. Janji saya dapat tengok anak saya. Sampai satu masa saya rasa saya sangat sedih, tertekan sebab suami dan anak duk jauh. Saya buat keputusan bawa anak ke sini.
Pernah saya menangis sambil dukung anak, panjat tangga rumah tingkat 4 setiap hari dengan bawa beg laptop dan barang-barang anak itu belum lagi tambah kalau beli barang dapur.
Saya tambah lagi, bab parking. Kadang-kadang bab parking boleh buat stress skala 7. Kita duduk menyewa rumah flat jangan mimpi nak ada lot parking sendiri. Yang pernah duduk kawasan flat KL, tahulah macam mana azabnya nak dapat parking. Balik sekolah dekat pukul 7. Sah-sahlah tempat parking semua dah penuh. Selalu sangat sampai sejam pusing-pusing cari parking. Kadang-kadang dah pukul 8 baru naik atas rumah.
Boleh bayang tak stress itu macam mana. Time menangis dalam kereta tu tak payah ceritalah. Memang air mata sajalah. Time-time macam ni memang kita akan terbayang,
"Kalau suami ada bersama aku kan best..."
Selepas anak datang tinggal dengan saya, suami pula berulang alik datang ke sini. Dua minggu sekali. Bila kau PJJ, memang kau kena hadap soalan "Eh, minggu ni suami datang ke?" atau "Eh..minggu lepas suami ko tak datang kan?".
Disebabkan itulah bila orang tanya memang saya akan jawab suami saya datang tiap-tiap minggu! Sebab saya rasa tertekan! Dengan macam-macam mulut orang. Sedang orang tak tahu kewangan keluarga kita.
Itu belum lagi tekanan saat kau sakit, tapi kau masih kena buat segalanya sendiri. Tapi saya bertuah sebab jumpa keluarga pengasuh yang baik dan layan macam keluarga sendiri.
Kalau nak tulis semua, saya rasa pengalaman saya tak seberapa berbanding kawan-kawan yang PJJ dengan suami dan anak sebab ada yang lebih lama daripada saya. Tapi kalau bagi duit beribu pun saya tak sangup sebab TEKANAN itu sangat besar.
Sungguh saya terkesan bila baca kes guru ditemui meninggal di tepi pantai. Ya, dia ada masalah kemurungan. Guru yang masih muda, punyai anak 6 orang yang masih kecil dan tinggal berjauhan daripada suami.
Allahu. Saya doakan semoga kawan-kawan saya yang PJJ akan dapat tingggal bersama secepat mungkin. Mohon orang atasan, bila melibatkan kes kakitangan yang PJJ ini, mintalah budi bicara tinggi sikit. Dengar masalah mereka dan ringankan beban mereka.
Jangan pula hari yang sepatut cuti, hari yang sepatut mereka pulang jumpa keluarga, diberi pula tugasan. Kalau tak buat atau tak datang, kena tindakan. Janganlah begitu.
Saya sendiri rasanya lebih 6 kali isi egtukar, tetapi tak berjaya sebab memang hebatlah kalau kau dapat masuk ke Kelantan. Tapi nasib saya agak baik, suami saya bukan seorg guru. Jadi sistem pertukaran itu berbeza dengan guru.
Saya ingat lagi perbualan saya dengan suami di talian selepas keputusan egtukar keluar. Keputusan seperti biasa, itu kali terakhir saya mengisi egtukar dan saya beritahu dia
"Saya tak kisah duduk di mana-mana pun asal awak ada dengan saya."
Dan Rezeki suami saya ditukarkan ke sini. Allahu. Ini antara pengalaman yang masih saya ingat. Kalau nak senarai semua rasanya memang tak akan mampu.
#pjj
#sayapernahPJJ
#peritnyapjj
#depressionpembunuhdalamsenyap
Sumber: Wanney Kie
from The Reporter https://ift.tt/2OiW7EM
via IFTTT