“DIA tiba-tiba berubah menjadi lemah sedangkan sebelum itu sangat aktif," kata Mastura Ali, 33, ibu kepada kanak-kanak lelaki, Farhan Lukman Abdullah, 2, yang meninggal dunia akibat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Farhan yang juga anak bongsu dari tiga beradik disahkan meninggal dunia kira-kira 3 pagi hari ini selepas dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
Ini adalah kes kematian pertama membabitkan penularan jangkitan itu di Sarawak.
Menurut Mastura, Farhan dibawa ke Klinik Kesihatan Daro selepas keadaan lemah dan hilang selera makan.
"Sebelum itu, dia memang aktif dan sering bermain bersama kakaknya. Malah arwah juga rapat dengan anak saudara saya yang lain.
"Bagaimanapun, selepas dijangkiti penyakit tersebut, keadaannya mula lemah dan tiada selera makan. Pada waktu malam pula, dia sering menangis dan tidak boleh tidur lena," katanya.
Katanya, Farhan dikejarkan ke Hospital Daro tiga hari lalu, namun kemudiannya dirujuk ke Hospital Sibu apabila keadaan kesihatannya semakin merosot.
Sementara itu, saudara rapat yang enggan namanya dikenali menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar untuk keluarga mereka.
"Masih terbayang keletah dan wajah riang Farhan ketika bermain bersama anak saya. Kini, dia tiada lagi dan meninggalkan kami buat selama-lamanya. Biar pun terasa kehilangannya, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Kampung Pangtray, Daro sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemang Pek pada 2.30 petang tadi. - Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2K4mScJ
via IFTTT