'Akak bagi anak akak pada puaka untuk dijaga' - Ibu tuntut keadilan di atas kematian anaknya yang disyaki didera pengasuh


Kepercayaan dan amanah telah diberi, namun ibu kepada dua anak ini mendakwa pengasuh berkenaan telah melakukan perbuatan khianat dan mendera anak-anaknya sehingga salah seorang daripadanya meninggal dunia. 

Biarpun aduan dan laporan polis telah dibuat, namun pengasuh ini katanya masih bebas dari sebarang tindakan undang-undang. Menurut ibu mangsa, mungkin kerana beliau bukanlah orang kenamaan untuk kes ini diberikan perhatian oleh pihak berkuasa. 

Perkongsian yang baru saja dimuat naik semalam telah mendapat banyak perhatian warga netizen dan post itu sahaja telah dikongsi lebih dari 28,000 kali dan rata-rata berharap pihak berkuasa memberi perhatian terhadap kes ini. 

PENGASUH PEMBUNUH PUAKA! 

AKAK mempunyai dua orang anak bernama Ryu dan Yuki. Akak ni orang berniaga online dari rumah, suami pula rakan kongsi sebuah kantin di UiTM Jengka. Oleh kerana ekonomi suami dan akak yang tak berapa bagus, akak pun terpaksa mencari kerja. Cari punya cari maka dapatlah kerja Japanese speaker customer service bagi sebuah syarikat penerbangan.

Akak mula bekerja pada 12 March 2018. Oleh kerana tidak tahu dan pertama kali mencari pengasuh, jadi kami mencari di Faceboook iaitu Kelab Pengasuh Selangor dan Kuala Lumpur. Yang paling dekat adalah seorang pengasuh yang bernama Norhafizah Laily Tajuddin (Fiza) di Puncak Perdana. 

Akak dan suami melawat dulu rumah Norhafizah dan mendapati beliau ada tiga orang anak yang masih kecil berumur 4 tahun, 2 tahun dan setahun kesemua lelaki. Anak lelaki akak pula Ryu berumur 3 tahun dan baby Yuki 10 bulan. Oleh kerana dia ada anak-anak kecil, keadaan rumah masa itu pun bersih (maybe dia dah kemas siap siap sebelum kami datang nak kenal) dan tambahan pula dia bercakap dengan lemah lembut, jadi akak rasa dia adalah calon sesuai.


Pada 16 Mac 2018 akak mula tinggalkan anak-anak bawah jagaan Norhafizah. Cerita bermula pada 19 Mac di mana akak mula perasan ada lebam-lebam pada Yuki. Pengasuh bagi alasan Yuki terjatuh dan lengannya biru sbb diheret oleh budak-budak yang tengah main. Akak yang baru balik dan penat bekerja tidak mengesyaki apa-apa. Mungkin tidak boleh berfikir secara logik kerana terlalu penat. 

Pada 22 Mac pula, ada kesan lebam pada pinggang Ryu dan Norhafizah mengatakan Ryu bergaduh dengan anak-anaknya. Akak tanya sama ada dia ada pukul anak akak, tetapi dia menafikan dengan bersumpah dia tak buat perkara yang seperti itu dan berjanji akan lebih berhati-hati menjaga anak akak. Akak tanya lagi, Betul ke tak da pukul atau tangan budak-budak ini? Sebab Ryu cerita Norhafizah pukul dia tetapi Norhafizah jawab, 

”Alah kak, time depa bising-bising rebut mainan itu, memanglah. Marah pun takat marah anak, pukul pun gitu-gitu bagi takut saja. Tak adalah sampai nak mendera.”

Pada akhir-akhir bulan Mac, Norhafizah mengambil lagi dua orang anak asuhan, adik-beradik yang berumur dua tahun bernama Adam dan setahun bernama Aira, tanpa memberitahu pada akak sepatah pun. Sedangkan dia tahu masa akak cari pengasuh, memang akak cari yang tak ada jaga anak orang lain. Akak dah mula risau sebab ramai sangat. 

Bila akak bertanya kepadanya, dia kata tak ada masalah, boleh uruskan dan lagipun dia memang tak aada buat apa yang lain dan itu saja mata pencariannya. Jadi akak masih percaya, lagipun kalau akak hantar nursery keadaan pun sama juga.



Pada 20 April, ada kesan lebam di dahi Yuki dan perut Ryu. Norhafizah meminta maaf kepada akak katanya terjatuh sofa dan Ryu pula bergaduh dengan Adam {anak parent satu lagi} ketika tu dia tengah solat. Jadi, pada malam itu saya mula mencari baby sitter yang lain. 

Pada 23 April pula, ada kesan lebam di tengkuk kiri kanan dan kemaluan Yuki. Norhafizah kata dia sental daki Yuki terlalu kuat dan tinggal bekas. Takkanlah baby punya leher berdaki kut. Hati saya dah mula ragu-ragu dan mula mengesyaki yang bukan-bukan.

Pada 25 April, akak minta adik lelaki akak mengambil Ryu dan Yuki kerana akak masih di tempat kerja dan mungkin terlambat sikit dari hari biasa. Biasanya jam 4.30 petang habis kerja, akak terus pergi ambil anak-anak. 

Adik akak bagi salam, tengok pintu memang terbuka dan ternampak Norhafizah puaka dengan sebelah tangan menyentap lenggan baby Aira yang berumur setahun (iaitu adik kepada Adam, anak asuhan ibu bapa yang lain) dan mengheretnya dari depan pintu ke tengah ruang tamu. 


Sejak hari itu akak tidak lagi meletakkan anak akak pada Norhafizah dan adik ipar akak tolong menjaga anak akan buat sementara waktu. Yang peliknya Norhafizah tak bertanya sepatah pun kenapa akak tak letak anak akak dengannya dah. Akak minta no contact dan Facebook mak Aira, tapi Norhafizah tak bagi. Akak bercadang untuk menghubungi mak Aira untuk memberitahu kejadian anaknya diheret. Akak juga nak melaporkan kepada pihak polis kesan-kesan lebam pada anak akak sepanjang di bawah penjagaannya. Sambil-sambil itu akak jenguk-jenguk juga taska atau babysitter atau bibik sana sini.

Malang sekali, kedua-dua anak akak telah mula demam-demam pada 26 April 2018. Akak bawa anak-anak ke klinik. Akak teringat, sebelum akak keluarkan anak-anak dari jagaan Norhafizah, dia ada tanya Akak.

“Eh kak, Yuki ini memang jenis kejap-kejap demam ya?’

(Rupanya dia dah prepare diri siap-siap supaya senang nak salahkan kita kalau anak tak sihat. Padahal belakang aku lemau kau balun budak-budak ini semua. Pandai ko blakon tanya itu ini)

Anak akak kalau ada tak sihat je, akak akan ambil cuti dan takkan letak kat dia, sebab tahu ramai anak lain lagi dalam rumah itu. Akak perasan, sejak akak letak anak-anak di bawah jagaan Norhafizah, anak-anak kerap panas badan on off, makin kurus dan muka start nampak pipi cengkung. Bila ditanya anak-anak makan tak? Dia jawab anak-anak makan banyak, sedangkan setiap kali dah ambil, anak-anak makan macam lahap kelaparan. 

Yuki, akak bekalkan breastmilk, bila kita check tengok breastmilk bekal freeze tak bergerak. Ditanya kenapa? Pengasuh jawab, Yuki tak nak minum, dia nak minum air kosong je. Baby kut lagi, takkan tak nak susu kan?


Pada 5 May 2018, Yuki dan Ryu demam lagi dan dimasukkan ke KPJ Selangor. Pada 13 Mei Yuki meninggal dunia di KPJ Selangor, sedih dan pilu hati akak hanya tuhan saja yang tahu. Akak WhatsAap pada Fiza pada 14 Mei jam 2:26 petang, beri gambar Yuki sudah meninggal, gambar jenazah, tanpa apa-apa komen sebab nak tengok reaksi Norhafizah. Dia buka WhatsApp jam 3 petang, hari yang sama, online, blue tick, tapi dia boleh buat tak tahu! 

Selepas 5 jam kemudian baru dia reply (reply WhatsApp ya, bukan call) tanpa rasa terkejut atau rasa sedih, anak asuhan kan. Anak-anak pun panggil dia dengan panggilan mak. Nak tahu apa WhatsApp reply dia?

"Innalillahiwainnailahiroji'un Takziah kak...Semoga Yuki ditempatkan di syurga adnin"

Akak berdebar dan speechless. Hati rasa remuk.

Selepas itu akak dah mula suspek yang dia memang sudah tahu perbuatan yang dia rahsiakan dari kami. Sesuatu yang memang kejam dan di luar jangkaan ibu bapa. Dengan kesan-kesan lembam di badan anak-anak asuhan semua itu. 

Disebabkan tidak berpuas hati, akak post dalam Facebook di beberapa kelab pengasuh untuk mendapatkan nombor mak Aira dan akhirnya dapat juga. Ramai ibu bapa yang bertanya pada akak apa yang terjadi dan kenapa pengasuh itu tidak mahu memberi nombor telefon mak Aira. 

Selepas akak post di Facebook kelab pengasuh, ramai ibu bapa di kawasan yang sama, yang nak letak anak di bawah jagaan Norhafizah, tetapi tidak tahu perangai sebenarnya.

Nama asal Facebooknya, Fieza NHL. Selepas Yuki meninggal dunia, nama di Facebook ditukar kepada NHL Long. 

Dia juga mendapat amaran dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jangan buat lagi kerja babysitter sebab sudah ada dua laporan polis dibuat ke atasnya. Tetapi dia buka lagi iklan untuk mencari anak asuhan di bawah Facebook bernama Mak Long. 

Walaupun Yuki sudah meninggal dunia, walaupun JKM dan penguatkuasa sudah datang ke rumahnya memberi amaran, dia masih berleluasa mengiklankan perkhidmatannya dengan menggunakan Facebook palsu dengan nombor telefon berlainan. 

Setakat ini, akak dah selamatkan tiga ibu bapa yang memang sudah berhubung dan pergi berjumpa dengan Norhafizah untuk meletakkan anak di bawah penjagaannya. Ada ibu bapa yang dah pergi beritahu akak, dahi anak dia yang bongsu berumur setahun itu bengkak biru dan lebam. Apabila ditanya kenapa, Norhafizah jawab sambil senyum dan gosok-gosok dahi anaknya.

"Ooo, ini nyamuk gigit."

Sahlah anak-anak dia pun memang mangsa tangan dia. Norhafizah bebas tanpa dikenakan sebarang hukuman. Sampai bila benda ini nak berlarutan? Sampai anak-anak orang lain menjadi mangsa? 

Dapat saja nombor mak Aira pada 18 Mei lalu, akak terus menghubunginya dan sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh mak Aira yang kesan lebam itu memang sama dengan-anak dia iaitu Adam dan Aira. Alasan yang sama juga diberikan iaitu jatuh dari sofa, bergaduh antara budak-budak. Sah-sah anak-anak kami didera! 

Rasa sesak nafas macam nak pengsan. Akak bagi anak akak pada puaka untuk dijaga!

Pada keesokan hari, 19 Mei 2018, suami akak dan mak Aira terus buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. Akak tak boleh pergi sebab Ryu masih dalam wad pada masa itu. 20 Mei, Ryu dari KPJ Selangor dipindahkan ke Hospital Shah Alam kerana kes polis mesti pada hospital kerajaan. 


Pihak polis ada melawat dan mengambil keterangan serta merakam gambar semua yang menjadi mangsa pengasuh berkenaan. Baby Aira dan abangnya Adam juga ditahan di wad yang sama untuk check up dan siasatan kerana takut mengalami nasib yang sama seperti anak arwah akak, Yuki. 

Tetapi masalahnya menurut pegawai penyiasat, kes ini susah nak dibuktikan. Akak ni tak tahu nak kata apa pada masa itu. Sudahlah pilu, putus harapan dibuatnya. Akak pelik juga sebab orang dah jadi abu pun boleh dikesan pembunuhnya. Yang dalam tong drum pun lagi boleh dicari. Mungkin kes ini bukan kes high profile agaknya. Yelah, siapalah akak ini kan?

Tetapi masa itu akak bertawakal saja dulu, biar anak akak yang seorang ini, Ryu, betul-betul sihat. Akak panjat turun naik mana-mana pejabat atau jabatan yang sudi mendengar. Hulur tangan dan tolong orang-orang yang anak-anaknya senasib dengan akak. 

Bila Ryu dah keluar wad, ramai yang suruh viralkan tetapi akak dan suami memang tengah sangat down. Memang rasa putus asa sebab ibarat menyerah anak untuk dikorbankan! Harapkan babysitter, babysitter berpuaka! 

Ryu pula sampai sekarang terpaksa dirawat dan di bawah rawatan di klinik psikiatri Hospital Shah Alam sebab asyik mengigau, tingkah laku yang tidak normal dan paling sedih sekali dia asyik tanya di mana adiknya. 

"Adik mana mommy? Adik mana? Kenapa mommy tinggalkan adik Yuki di Hospital? Bagi balik adik Yuki!" 

Akak berusaha untuk move on, nak menangis melepaskan rindu bila teringat pada Yuki. Terpaksa tahan, takut Ryu nampak. Sebab doktor psikiatri dah pesan, kalau ibu tak gembira, Ryu boleh rasa. Sedangkan kita nak bagi Ryu sihat dari trauma yang dia sedang alami. 

Nak dijadikan cerita, Allah Maha Kaya, kami terjumpa seseorang yang mengenali Norhafizah ini. 

"Fiza ini memang suka goncang budak kak. Dia panas barang. Anak dia pun dia goncang. Dia ini kaki bomoh. Laki dia pun dia bagi minum air kencing etc.." 

Akak tanya dia, "Mana adik tau?" 

"Laa... kak, dia goncang anak dia yang baby itu di depan kami supaya diam. Perasan tak kak, anak dia yang sulung itu tidak boleh bercakap dengan elok lagi. Padahal dah sama umur dengan Ryu. Entah apa dia dah buat pada anak-anak dia. Anak orang lain lagilah kak. Yang kes bagi laki dia minum air kencing itu, dia sendiri yang cerita pada saya, supaya suami dia tunduk pada dia. Sebab itu depan saya pun, dia tengking-tengking marah suami dia." katanya. 

Lemah rasa satu badan bila dengar cerita ini. Allah sahaja yang tahu. Menitik air mata terbayangkan kesakitan yang anak-anak dah alami akibat perbuatan Norhafizah ini. Sahlah Norhafizah ini memang perangai puaka dan suka pukul budak-budak. 


Bila akak Google, barulah akak tahu yang baby bila digoncang on the spot dapat kesan tetapi dalam tempoh masa beberapa hari atau bulan yang boleh menyebabkan kematian. 

Orang seperti Norhafizah ini tidak boleh dibiarkan merayap dalam kelompok masyarakat, patut diletakkan dalam penjara. Genap 100 hari Yuki meninggal dunia, semua informasi mengenai Norhafizah, siapa dirinya yang sebenar, semuanya datang dengan sendiri. 

Akak berharap dengan berkongsikan apa yang akak sudah alami ini mendapat sokongan dan pertolongan dari netizen agar arwah anak akak, Yuki, mendapat pembelaan dan keadilan.

Sumber: Noyu Mohamad


from The Reporter https://ift.tt/2nT1Cho
via IFTTT