BR1M akan dikurangkan secara berperingkat sebelum dihapuskan - PM


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan, demikian kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor The Malaysian Insight.

Dalam wawancara khas itu, Tun Dr Mahathir berkata, pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak sebelum ini terlalu 'memanjakan' rakyat dengan memberikan mereka wang tanpa melakukan kerja. 

"Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka (BR1M) dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.

"Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik. Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah.

"Najib memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja kerajaan akan berikan wang kepada mereka.

"Sekarang kita tidak boleh berikan mereka wang kerana kita tidak mencuri wang, tetapi mereka masih mahu wang (BR1M).

"Tetapi rakyat masih mahukan BR1M. Mereka menjadi sangat bergantung kepada kerajaan dan ini adalah tidak baik. Mana-mana negara yang rakyatnya berasa kerajaan akan membayar wang walau tidak melakukan apa-apa, ia akan muflis,” katanya.

Jelas beliau, objektif kerajaan baru adalah menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin menerusi pelaburan asing dan domestik. 

Untuk pengetahuan, BR1M diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN_ pada 2012 dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah menerima bantuan RM1,200, manakala golongan berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 menerima bantuan RM900 setahun. Bagi individu berpendapatan RM2,000 ke bawah pula menerima bantuan sebanyak RM450. 

Secara keseluruhannya, kerajaan memperuntukkan RM6.8 bilion dalam bajet tahun untuk untuk membayar BR1M kepada 7.2 juta penerimanya.

Pakatan Harapan sebelum ini mengumumkan akan menggantikan BR1M apabila berjaya mengambil alih kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurut Mahathir mekanisme untuk bantuan baru itu dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup Malaysia, namun setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman berhubung perkara itu.

Peringkat ketiga bayaran Bantuan Sara Hidup 2018 dibuat sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, termasuk peruntukan sebanyak RM1.6 bilion yang dibayar kepada 4.1 juta penerima.

Sementara itu, Najib melahirkan rasa kesal terhadap keputusan itu dan menafikan BR1M diwujudkan untuk tujuan politik.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mendakwa bahawa BR1M dibayar dengan wang yang dicuri dan tujuan BR1M ialah untuk membeli rakyat.

Beliau turut mendakwa wang BR1M terlalu kecil dan rakyat tidak merasa.

"Agak pelik tuduhan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) curi wang untuk bagi balik kepada rakyat. Wang untuk membayar BR1M bukan dari sumber yang dicuri," katanya dalam satu kenyataan disiarkan di akaun Facebook rasminya hari ini.

Najib berkata, BR1M yang disalurkan kepada rakyat tersasar ialah daripada langkah rasionalisasi subsidi dan hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Orang kaya banyak mendapat faedah daripada subsidi pukal manakala kutipan GST lebih banyak daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

"GST mengurangkan pengelakkan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi gelap.

"Wang ini dikembalikan kepada golongan B40 sebagai BR1M yang jumlahnya terus meningkat kerana kutipan GST meningkat hasil pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dulunya semakin berkembang.

"Bila orang susah dapat duit, duit itu dibelanjakan semula dalam kitaran ekonomi terutama di kawasan luar bandar. Dengan ini, jurang kekayaan dan pendapatan antara golongan yang kaya dan miskin boleh dirapatkan," katanya.

Beliau berkata, keputusan kerajaan itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) hanya mementingkan golongan kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai.

"Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong bukan dihukum. Di mana salahnya kalau kita mengambil wang daripada yang kaya dan lari cukai untuk membayar kepada yang miskin?

"Adakah PH sudah lupa bahawa mereka berjanji untuk meneruskan BR1M dalam manifesto? Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?" katanya.



from The Reporter https://ift.tt/2MA31by
via IFTTT