10 tahun hidupnya bergelumang dengan sampah dan najis, itulah nasib yang menimpa seorang wanita sakit mental di Kampung Bendang Pak Yong, lapor Sinar Harian.
Wan Hafsah Che Awan, 39, dibiarkan hidup dalam keadaan rumah yang tidak terurus tanpa bekalan elektrik serta keadaan dinding dan lantai rumah yang reput. Hanya tilam buruk sebagai alas tempat tidurnya. Rumah itu juga dipenuhi dengan najis dan sampah berbau busuk di setiap sudut.
Difahamkan, Wan Hafsah hidup sebatang kara selepas kedua ibu bapa angkatnya meninggal dunia sejak 15 tahun yang lalu.
Menurut jirannya, Che Omar@Musa Isa, 68, berkata, kematian pasangan itu menyebabkan Wan Hafsah mengalami tekanan perasaan.
"Hidupnya terabai, emosinya terganggu sehingga kemurungan yang dialami sejak remaja semakin teruk.
"Dia pula tinggal seorang diri di rumah peninggalan ibu bapanya itu. Keadaan itu menyebabkan gangguan mentalnya semakin teruk sejak 10 tahun kebelakangan ini," katanya.
Menurut Che Omar, Wan Hafsah pernah dihantar ke hospital sakit jiwa, tetapi dibenarkan pulang selepas dia disahkan pulih.
Bagaimanapun, terlalu sukar untuk menjaga wanita itu yang seringkali merayau dan kerap hilang kerana tidak tahu jalan pulang.
"Dia suka merayau, kadang kala risau juga keselamatannya kerana dia seorang wanita.
"Ramai yang hulurkan makanan padanya. Sampah sarap itu adalah sisa makanannya serta sampah yang dikutip dan dibawa pulang ke rumah," katanya.
Che Omar berkata, Wan Hafsah sukar mendapatkan bantuan kerana dia berstatus penduduk tetap. Namun atas dasar kemanusiaan, dia amat berharap ada pembelaan kepada Wan Hafsah agar ditempatkan di rumah perlindungan demi keselamatannya daripada gangguan seksual.
from The Reporter https://ift.tt/2O9owzJ
via IFTTT