'Cukuplah rumah sebiji, asalkan tak perlu menyewa' - Teguran untuk Geng Hartanah yang suka memperkecilkan gaya hidup orang lain
Seorang ketua keluarga bukan sahaja memikirkan tentang tanggungjawab seharian kepada isteri dan anak-anak malahan ada yang lebih mementingkan keselesaan isteri dan anak-anak. Setiap pemikiran individu berlainan, ada yang ingin menambahkan aset seperti rumah untuk jaminan jangka panjang dan ada juga yang memikirkan melabur duit untuk keselesaan dan menggembirakan keluarga.
Seorang guru, menyuarakan pendapatnya yang tidak bersetuju dengan beberapa pendapat yang mengatakan duit itu perlu digunakan untuk menambahkan aset seperti rumah walaupun terpaksa berjimat cermat. Baginya, pelaburan tersebut perlu dilaburkan untuk menggembirakan keluarganya dan lebih mementingkan keselesaan kepada isteri dan anak-anak.
"KAU asal cuti bukan main melancong sana sini. Makan mahal-mahal, berhabis duit sakan apa yang disimpan. Kereta tak nak kalah. Gaya hidup nak mewah. Tapi rumah tak beli-beli juga. Ada satu pun kongsi nama.
Aku walau pakai Myvi second hand, walau tak melancong ke sana sini, walau tak makan yang mahal-mahal, tapi rumah dah tiga. Rumah tu aset. Kena berjimatlah nak beli rumah."
Aku setuju, rumah tu aset penting dan berharga. Itu pun kalau pandai pilih lokasi yang betul lah. Banyak juga rumah jadi bebanan pula pada pembeli.
Cuma aku ni lain macam sikit beb. Aku ini jenis yang suka enjoy dengan kehidupan. Tak sama macam kau yang enjoy kumpul rumah dan harta. Minat kita tak sama. Namun tak perlu kot memperkecilkan cara orang lain.
Kira-kira kita berbeza. Kau asal nampak ada lebih sikit, terus nampak jalan untuk beli aset, beli rumah. Aku asal nampak lebih sikit, terus nampak jalan untuk enjoy hidup aku dengan cara aku.
Aku tak boleh ikut cara kau berkereta Myvi second hand nak drive balik Kelate setiap cuti dengan anak empat orang. Kenderaan ni rumah kedua dah bagi perantau. Maka kena guna kereta yang elok sikit.
Walau mahal bayar bulanan, namun keselesaan dan safety anak isteri lebih terjamin. Bukankah itu tugas utama seorang lelaki merangkap suami dan bapa? Memastikan keselesaan dan keselamatan buat ahli keluarga?
Aku tidak boleh hidup menahan diri, terlalu berjimat sehingga apa yang anak dan isteri hajati pun aku tolak. Sehingga suruh anak isteri berpanasan takut bil melambung sedangkan aircond ada tiga. Gunalah bila panas tak kira siang atau malam. Bil bulanan purata dalam RM350 sebulan tu aku bayarkan. Ini untuk keselesaan mereka. Belum pernah sekali aku larang mereka guna hanya kerana risaukan bil naik. Bahkan belum pernah apa-apa bil rumah, aku suruh isteri aku bayar.
Aku suami dan ayah kot. Aku usahalah semampu aku untuk keselesaan mereka. Takkan hanya kerana berjimat, setiap kali makan bersama kawan, aku yang paling lambat seluk poket cari duit. Tidak. Itu bukan cara aku.
Hanya kerana mahu berjimat untuk bayar installment rumah atau untuk kumpul deposit nak beli rumah seterusnya sanggup lihat anak duduk tercongok depan tv waktu cuti. Kau mungkin boleh begitu, tapi tidak aku.
Rumah sebiji cukuplah dulu. Asasnya dah ada, tak perlu menyewa dah. Walau rumah kecil, namun atas tanah. Walau bukan dua tiga tingkat, itulah menjadikan kami rapat. Asyik selisih dan pandang muka semua ahli yang tinggal di rumah ini. Bukan tinggal di rumah mega berkurung dalam bilik sendiri di tingkat berlainan aras sehingga tak jumpa berhari-hari.
Beginilah. Cara kita berbeza. Cara urus kewangan kita juga berbeza. Cara kira-kira kita berbeza. Komitmen dan matlamat kita juga berbeza.
Aku hormati cara kalian suka kumpul rumah banyak-banyak kemudian sewakan. Kadang-kadang aku juga cemburu lihat aset sampai berjuta yang kalian kumpulkan. Aku hormati itu. Cuma aku memilih jalan yang berbeza.
Aku memilih jalan yang pada pendapat kau salah. Memilih keselesaan kenderaan, suka belanja kawan-kawan makan, suka melancong ke sana ke mari, suka membeli apa yang aku rasa patut beli dalam kemampuan kewangan aku.
Jalan kalian, jalan yang perlukan disiplin ketat sehingga perlu korbankan banyak sangat benda yang aku tak sanggup untuk korbankan. Teruslah kalian dengan cara kalian.
Cuma satu aku nak pesan, tak perlulah perlekehkan cara orang lain lagi. Nak sampaikan ilmu dengan cara kalian, silakan. Aku alu-alukan. Cuma biar akhirnya impak positif. Bukan merendah-rendahkan cara orang nikmati hidup mereka.
Aku akan teruskan hidup dengan cara aku. Enjoy dengan cara aku enjoy. Menikmati hidup dengan cara aku sendiri. Kerana hidup hanya sekali! Ada geng sama macam aku tak?
- Lain orang, lain cara -
Sumber: Mohd Fadli Salleh
from The Reporter https://ift.tt/2MIvbMC
via IFTTT