'Mak dia pelacur, bagi makan anak dia duit camtu, halal ke cikgu?'


Laporan berita mengenai seorang ibu tunggal bakal dikenakan hukuman sebat syariah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Ahad lalu, atas kesalahan melakukan persediaan untuk melacurkan diri, menimbulkan pelbagai reaksi netizen di media sosial. 

Astro Awani melaporkan, ibu tunggal berusia 30 tahun itu mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut di mana dia ditahan bersama dengan seorang pelanggan pada jam 11.20 malam 17 September lalu di sebuah hotel di bandar Kuala Terengganu, bersama dengan seorang pelanggan. 

Selain hukuman sebatan, ibu tunggal itu juga bakal berdepan dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan. Mahkakamah kemudian menetapkan 27 September ini sebagai tarikh menetapkan hukuman. 

Perkara itu menarik perhatian seorang aktivis masyarakat yang berkongsikan tentang kisah seorang wanita bekerja sebagai pelacur. 

Bukan mahu 'menghalalkan' perbuatan itu, sebaliknya mahu mengajak netizen merenung kembali akan kesukaran hidup golongan yang tidak mempunyai pilihan ini, dan jangan terlalu awal menilai mereka. Sebaliknya selidik dan fahami kesusahan hidup mereka. 

TERTUDUH tidak diwakili peguam, jelas menunjukkan tertuduh tidak mampu. Saya nak berkongsi satu kisah. 

Empat tahun lalu semasa saya aktif dengan Chow Kit Kids Project, ada seorang wanita ini datang pada saya.

"Cikgu, anak saya tak susah. Jangan suruh dah dia datang kelas cikgu tepi jalan ni," katanya. 

Waktu itu, kali pertama saya jumpa mak dia. Selepas saja dia sound saya, dia tarik anak dia dan lintas jalan. Terpinga-pinga anak dia walaupun anak dia dah menjerit nak juga duduk kelas tepi jalan itu. 


Seminggu selepas itu, ada mak lain datang. 

"Cikgu, jangan makan hati dengan apa yang mak xxxx cakap hari tu. Mak dia pelacur, bagi makan anak dia (guna) duit macam tu. Halal ke cikgu?" soalnya dan saya hanya mampu diamkan diri. 

Anak kakak itu datang juga pada minggu itu. Curi-curi jumpa saya. Anak dia kata, mak dia pergi kerja malam. Jadi, dia boleh curi-curi datang. Dia minta maaf dan berjanji akan cuba memujuk ibunya lagi. 

Budak itu sambung lagi yang sebenarnya mak dia sangat susah. Tetapi terpaksa melacurkan diri kerana tidak dapat mencari pekerjaan dan mereka orang susah. Suami pula di dalam penjara. Anak nak pergi sekolah pun tidak mampu. 

Tetapi orang di sekeliling selalu sangat judge, cakap macam-macam tentang keluarga dia bila tahu apa kerja mak dia. Sebab itu mak dia tak nak bagi anak dia bergaul. Stigma masyarakat, asal melacur saja, jahat dan neraka. 

Tak ada pula kita nak tanya, "Makan apa malam tadi?", "Anak akak macam mana?", "Suami kerja apa?", "Anak sekolah di mana?" 

Yang kita laju tanya, "Kau kenapa jadi pelacur?" sebab kita sudah terbiasa melacurkan diri dengan menghukum manusia begini. 

Masyarakat dan sistem kita ini sakit. Sakit kerana tidak mahu menyelesaikan masalah pada akarnya. Kemiskinan itu masalah akarnya. Tetapi kita tidak mahu melihat miskin itu adalah masalah. Yang kita mahu, kahwinkan budak kecil ini sebab mahu mengelakkan hubungan seks, hukum pelacur ini! 


Jangan pernah membuat penilaian pada orang lain sekiranya anda tidak berada di kedudukan mereka. Sebaliknya, tawarkan diri untuk membantu golongan ini. Bawalah dia kembali melakukan perkara yang baik dan kerja yang halal.


from The Reporter https://ift.tt/2OP1BH9
via IFTTT