Pakar Geologi Universiti Malaya Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul mengatakan, Lahad Datu berdepan dengan ancaman tsunami yang berpunca daripada gempa bumi dasar laut di perairannya selain gempa bumi dasar laut di perairan Filipina atau Indonesia.
Beliau berkata, kemungkinan itu berdasarkan kedudukan Lahad Datu yang dikenal pasti antara lokasi yang paling kerap dilanda gempa bumi selain Ranau, berikutan kewujudan dua sesar aktif di daerah itu dengan ada antara gempa sebelum ini dikesan berpusat di laut.
Bagaimanapun, kebarangkalian untuk perkara itu berlaku adalah rendah.
"Walaupun kemungkinan tsunami akibat gempa bumi tempatan sangat kecil, gegaran kuat boleh menyebabkan tanah runtuh bawah laut dan ia boleh menghasilkan tsunami.
"Tsunami boleh juga (berlaku) tetapi sangat kecil kemungkinannya sebab air laut (di perairan Lahad Datu) cetek. Tsunami berlaku bila air laut sangat dalam," katanya.
Terdahulu, Dr Felix pernah mendedahkan, kawasan pantai timur dan utara Sabah bermula dari Kudat hingga ke Tawau berisiko tinggi dilanda tsunami sekiranya berlaku kejadian gempa bumi yang kuat di dasar Laut Sulu atau Laut Sulawesi.
Tsunami setinggi satu hingga lima meter dari perairan Filipina dan Indonesia itu boleh sampai dalam masa sesingkat 30 minit sebelum membadai pantai timur dengan Tawau dikenal pasti paling terjejas kerana bentuk muka buminya yang rata.
Dr Felix yang juga Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam Sabah UMS itu berkata, negeri ini terdedah kepada ancaman tsunami jika gempa bumi kuat dasar laut berlaku di Peparit (Trenches) Manila, Mindoro dan Cotabato di perairan Filipina selain Peparit Sulawesi Utara, Indonesia.
Katanya, risiko tsunami adalah jelas berdasarkan rekod Filipina bahawa kawasan utara dan pantai timur Sabah pernah dilanda tsunami setinggi dua meter selepas gempa bumi kuat berukuran 7.5 skala Richter berpusat di Laut Sulu, Zamboanga pada 21 September 1897.
Sementara itu, katanya kawasan pantai barat termasuk bandar raya ini juga boleh diancam tsunami, namun risikonya agak rendah berbanding kawasan pantai timur berikutan kedudukannya yang jauh dari lokasi pusat gempa bumi dasar laut di negara jiran.
“Masih ada risiko, tetapi agak rendah sebab kedudukan sumber tsunami di Peparit Manila, Filipina yang agak jauh berbanding sumber tsunami di Peparit Sulu dan Peparit Sulawesi untuk pantai timur Sabah,” katanya. - Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2AnHT0z
via IFTTT