Seorang kanak-kanak di selatan China nyaris buta apabila alat pengecas telefon bimbit tertusuk di dahinya selepas dia terjatuh di rumah, lapor Daily Mail.
Xiao Yu, 2, terjatuh dari katilnya ketika tidur dan dahinya terhempap pada alat pengecas tersebut dalam kejadian pagi Sabtu di Nanning, Guangxi, menurut laporan media tempatan.
Ibu bapa mangsa ketika kejadian sedang tidur berhampirannya, terkejut apabila terdengar suara tangisan Xiao Yu , lalu memeriksa keadaan mangsa dan mendapati dahinya luka teruk.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Minzu dan doktor berjaya mengeluarkan alat pengecas itu melalui pembedahan kecil.
Berdasarkan imbasan CT, terdapat dua luka kecil pada tengkorak mangsa di bahagian atas mata kanan kira-kira 0.5 sentimeter.
Akibat kejadian itu, Xiao Yu mengalami keretakan pada tempurung kepalanya dan udara telah memasuki tengkoraknya melalui luka tersebut.
"Jika alat pengecas itu tertusuk di bahagian bawah sedikit, ia boleh menyebabkan kecederaan pada mata mangsa," kata Dr Zhao yang juga mengesahkan mangsa akan pulih dari kecederaannya itu.
Menurut bapa mangsa, Zhao, anaknya gemar tidur berguling-guling di atas katil dan mereka tidak tahu alat pengecas itu berada di lantai pada hari kejadian.
Xiao Yu dilaporkan semakin pulih dari kecederaannya. Doktor juga menasihatkan ibu bapa tidak meletak benda-benda berbahaya dan tajam merata-rata bagi mengelakkan kes seumpama itu berlaku.
from The Reporter https://ift.tt/2AbnpHW
via IFTTT