'Saya mengaku salah, namun saya ada masalah mental' - Lelaki bunuh anak tiri minta jalani pemeriksaan mental


Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera anak lelaki tirinya berusia tiga tahun lebih.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua,  lelaki berusia 31 tahun itu didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak berusia tiga tahun empat bulan, telah didapati melakukan penderaan terhadap mangsa.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Permai 2, Kampung Indah Permai dan sebuah rumah di Taman Ampang Saujana, Jalan Persiaran Saujana, di sini antara Ogos 2017 hingga November lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Hakim Azrul Darus memerintahkan lelaki  itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan mental selama 30 hari mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah selepas tertuduh memohon untuk menjalani rawatan di hospital itu kerana mendakwa dia mempunyai masalah mental.

"Ya...saya mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut, namun saya mohon mahkamah menghantar saya menjalani rawatan di Hospital Bahagia kerana saya mempunyai masalah mental skizofrenia (gangguan) sejak dari kecil.

“Saya juga mempunyai kad pesakit dari Hospital Ampang dan masih dibekalkan ubat, serta pernah menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta,'’ katanya semasa berada dalam kandang tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li manakala tertuduh tidak  diwakili peguam.  Mahkamah  menetapkan 21 Dis  untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan  semua laporan perubatan mangsa dan laporan status kesihatan mental tertuduh sama ada tertuduh layak dibicarakan atau tidak.

Turut hadir isteri Boy Tiger dan ahli keluarganya.

Di Mahkamah Majistret pula, lelaki itu didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas  anak tiri sama di ruang tamu di sebuah rumah, di  Jalan Bukit Indah 5, Taman Bukit Indah, Ampang, di sini  pada 11 pagi, 8 November lepas.

Dia hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali namun  tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang memakai t-shirt warna hitam dan berseluar jeans itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan perubatan.

Pada 9 November lalu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, maut dipercayai akibat didera dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas 30 minit dihantar ke Hospital Ampang oleh bapa tiri serta ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Sementara itu, isteri Boy Tiger yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan dibebaskan dengan bon selepas direman dua kali iaitu kali pertama pada 13 November lepas dan kali kedua pada Isnin lepas. - Bernama

BERITA BERKAITAN: 


from The Reporter https://ift.tt/2FA21RF
via IFTTT