Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata seorang lagi penjenayah berjaya diberkas.
Katanya enam lelaki warga tempatan tersebut sebelum itu meluru masuk ke pasar raya berkenaan sebelum menyamun kedai emas di situ dalam kejadian kira-kira 4.30 petang.
Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata sebaik keluar, suspek bertembung dengan sepasukan anggota daripada Bahagian Jenayah Berat (D9)n Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang datang selepas menerima maklumat awam mengenai kehadiran beberapa individu mencurigakan yang memakai topi keledar di dalam kereta di kawasan pasar raya.
“Berlaku insiden berbalas tembak dengan empat lelaki mati ditembak di lokasi kejadian manakala seorang lagi suspek yang cuba melarikan diri dengan sebuah kereta ditembak kira-kira 400 meter dari lokasi itu,” katanya.
Mazlan berkata kejadian turut mengakibatkan seorang anggota polis cedera terkena tembakan di lutut.
“Anggota polis yang cedera dilaporkan stabil dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Pihak polis turut merampas dua pucuk pistol, sebilah parang dan kapak serta dua buah kenderaan jenis Perodua Myvi dan Mercedes yang digunakan suspek.
“Sejumlah besar barang kemas yang disamun juga berjaya dirampas,” katanya.
Katanya nilai barangan kemas yang disamun serta jenis pistol yang digunakan masih dalam siasatan. - Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2DMFBL6
via IFTTT