'Dulu boleh dapat RM1,000, sekarang nak dapat RM500 pun susah' - Gara-gara insiden belasah pemandu bas ekspres, peniaga lain terkena tempias


Gara-gara tindakan sekumpulan lelaki membelasah seorang pemandu bas ekspres di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang baru-baru ini, ramai peniaga makanan di lokasi itu mengadu terkena tempias. 

Niliyana Abdul Rahim, 43, berkata, keuntungan perniagaannya semakin merosot dipercayai diboikot pengguna Lebuhraya Pantai Timur ekoran insiden yang tidak sepatutnya berlaku itu. 

"Sebelum insiden itu, kami peniaga gerai makanan mampu menjana keuntungan RM1,000 sehari. Sekarang nak dapat RM500 pun susah. 

"Sepatutnya cuti musim sekolah dna cuti hujung minggu ramai pengguna lebuh raya akan singgah. Tetapi disebabkan kes itu tular, kami menjadi mangsa," katanya yang sudah bekerja di kawasan R&R Arah barat sejak 13 tahun lalu. 

Menurut Niliyana, walaupun insiden pergaduhan itu berlaku di kawasan R&R Gambang arah timur, kawasan perniagaannya turut terkena tempias dan sudah tidak melihat kelibat pemandu bas ekspres singgah di situ untuk membeli makanan mahupun untuk berehat. 

"Pemandu bas dna lori sudah jarang kami nampak selepas insiden itu. Sebelum ini mereka selalu berhenti," katanya. 

Sementara itu, Amirul Alias, 23, peniaga di kawasan sama yang gerainya juga bernombor enam turut menerima tempias di mana dia dan keluarga disangka menjadi penyebab kepada pergaduhan itu. 

"Kejadian berlaku di R&R Gambang arah timur. Tapi orang ingat gerai kami yang jadi punca. Walhal gerai yang tular itu gerai nombor enam di sebelah sana," katanya. 

Justeru, peniaga di kawasan R&R Gambang arah barat berharap orang ramai tidak memboikot mereka kerana kejadian itu masih dalam siasatan polis. Tindakan itu katanya hanya akan menyebabkan mata pencarian penduduk di situ terjejas.

Di media sosial, netizen yang singgah di R&R Gambang tidak menafikan premis perniagaan di kawasan itu telah diboikot. 


"Lalu R&R Gambang, kereta hanya penuh depan tandas dan surau sahaja. Depan kedai, kosong. Bas dan lori langsung tak ada. R&R Perasing kini dah ada nampak bas ekspres berhenti. Power juga kuasa viral ni," kata netizen.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi 24 Disember lalu, seorang pemandu bas dibelasah sekumpulan lelaki selepas didakwa mengasari seorang pelayan gerai. 

Namun ada saksi pula mendakwa pelayan gerai itu terlebih dahulu mengungkapkan kata-kata yang tidak sepatutnya menyebabkan pemandu bas itu berang, tetapi tidak menyentuh pelayan terbabit. 

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan tujuh suspek termasuk pemandu bas untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. 

Sumber: Harian Metro


from The Reporter http://bit.ly/2EXRWfk
via IFTTT