Hannah, Steven jumpa Mufti minta pandangan untuk tangani masalah sosial


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, bersama dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim hari ini mengadakan pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad. 

Kedatangan dua ahli politik dari DAP dan PKR itu adalah bertujuan mendapatkan pandangan dari Zulkifli dalam usaha kerajaan menangani masalah sosial yang semakin meruncing. 

Pertemuan itu diadakan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya. Gambar-gambar pertemuan mereka turut dimuat naik di laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan.


Pada perbincangan itu, Yeoh mengemukakan data-data berhubung masalah sosial seperti kes kehamilan luar nikah, pembuangan bayi dan masalah mental. 

Dalam sidang media yang diadakan selepas selesai perbincangan itu, Zulkifli menyatakan komitmen pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk membantu kerajaan dengan menyumbang pandangan dan saranan bagi menangani isu berkenaan. 

Sementara itu Hannah berkata, masalah sosial yang berlaku tidak hanya membabitkan kaum atau agama khusus semata-mata. 


"Portfolio yang saya pegang merangkumi semua agama dan kaum. Kerisauan kita pada kanak-kanak bawah umur (yang menjadi mangsa). Oleh itu kita mendapatkan pandangan mufti dalam hal ini," katanya kepada media. 

Dalam pada itu, Hannah juga berterima kasih kepada Zulkifli kerana sudi berkongsi pandangan dengannya yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu yang membabitkan sensitiviti agama dan kaum. 

Katanya, persefahaman dan perpaduan di antara kaum perlu diperkukuhkan lagi supaya rakyat saling memahami dan menghormati. 

Zulkifli juga berharap, hubungan kerjasama seperti itu akan berterusan agar masa depan Malaysia yang lebih baik. 

Sumber: MalaysiaKini 


from The Reporter https://ift.tt/2LpXkJv
via IFTTT