'Mereka berpelukan selepas ditarik ombak' - Tiga beradik lemas ketika bermain di Pantai Sura Tengah


Tiga beradik dilaporkan lemas selepas ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, dalam kejadian jam 6.40 petang, semalam. 

Tiga beradik terbabit adalah Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea Zawawi, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kota Bharu, Kelantan. 

Terdahulu, tiga beradik terbabit dikatakan bermain di tepi pantai bersama dua sepupunya dengan ditemani seorang ibu saudaranya. Secara tiba-tiba ombak besar memukul mereka sebelum menarik mangsa ke tengah laut. 

Ibu saudaranya cuba membantu namun gagal, lalu memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga yang lain. 


Difahamkan, tiga beradik terbabit mengikuti ibu saudara mereka serta ahli keluarga lain bercuti dan menyewa sebuah inap desa berhampiran pantai tersebut, manakala ibu bapa tiga beradik itu tidak turut serta. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Mohamad berkata, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.14 malam. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, anggota polis dengan bantuan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR). 

Menurut sepupu mangsa, Aqif Khairullah, 7, tiga beradik itu berpelukan selepas ditarik ombak.

"Mula-mula Nur Ain Sasabila bermain di tepi dan dua kakaknya datang untuk mengajak adiknya itu naik ke atas. 

"Tiba-tiba ombak besar datang dan memukul mereka sebelum ditarik ke laut," katanya. 


Bapa Aqif, Azhar, 43, berkata, dia dan isteri serta yang lain berehat di inap desa, manakala dua anaknya dan tiga beradik itu pergi bermain di pantai. 

Azhar yang terlelap kemudian dikejutkan oleh isterinya yang memaklumkan tiga beradik itu telah dihanyutkan ombak. 

"Saya bersama ahli keluarga yang lain turun ke pantai dalam jarak 300 meter dan mendapati ketiga-tiga mangsa sudah hilang. Saya meminta ahli keluarga supaya segera menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu," katanya. 

Dalam perkembangan terkini, mayat dua dari tiga beradik itu berjaya ditemui pagi ini. 


Mayat Nurain Sofia ditemui lima kilometer dari tempat kejadian pada jam 7.48 pagi, manakala adiknya, Nurain Sasabila, ditemui 700 meter dari tempat kejadian pada jam 9.20 pagi tadi. 

Kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. 

Sumber: Harian Metro


from The Reporter http://bit.ly/2QVLInk
via IFTTT