Hukum menyindir atau ‘troll’ di media sosial yang menyalahi hukum syarak adalah haram dan berisiko mewujudkan permusuhan dan perbalahan sesama manusia.
Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini, melihat ‘troll’ sebagai situasi membimbangkan kerana ia disebarkan dalam pelbagai konteks termasuk mesej bertulis, klip video pendek dan gambar yang diubah suai dengan dialog yang dicipta sendiri.
“Kebanyakan ‘troll’ yang disebarkan mengandungi unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek nama, tubuh badan dan perilaku.
“Kegiatan itu juga berisiko menghasut, menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu yang menjadi mangsa ‘troll’.
“Justeru, hukum perbuatan ‘troll’ adalah haram jika ia digunakan sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan antara manusia apatah lagi sesama muslim. Ia berasaskan kaedah, ‘Jalan-jalan baginya hukum sebagaimana tujuan’,” katanya.
Berdasarkan ciri-ciri ‘troll ‘ yang menyalahi hukum syarak, jelas ia bertentangan dengan pelbagai nas syarak.
Antaranya ialah larangan mengejek atau menggelar dengan gelaran yang tidak baik; larangan menghina, merendah-rendahkan, mencaci dan melaknat sesama sendiri; larangan khianat dan berbohong serta larangan menyebar fitnah dan mengadu domba.
Katanya lagi, jika troll yang dilakukan hanya sekadar sindiran dengan bahasa kiasan tanpa menjatuhkan maruah peribadi seseorang, tetapi lebih kepada teguran atau nasihat secara berhikmah, maka ia tidak mengapa.
“Media sosial adalah alat komunikasi bagi memudahkan perhubungan sesama manusia. Hukum asal menggunakannya adalah harus jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak. Ini berdasarkan kaedah fiqh, ‘Asal pada segala sesuatu itu harus’.
“Seseorang itu tidak sepatutnya melontarkan apa sahaja yang mahu dikatakan atau dikongsikan tanpa berhati-hati. Mungkin mereka menyangkakan itu remeh tetapi di sisi Allah SWT ia amat berat,” katanya.
Jelasnya lagi, netizen perlulah berakhlak mulia biarpun di alam maya dan jangan dilupa bahawa setiap gerak geri ada saksi yang sedang memerhatikan.
“Biarpun ia bukan percakapan lidah, tapi tangan yang menulis, berkongsi dan menyebarkan, namun yakinlah bahawa ia sendiri kelak akan menjadi saksi atas apa yang diperbuat.
“Ini digambarkan Allah SWT di dalam al-Quran ketika manusia terpinga-pinga kehairanan, mengapa kulit tubuhnya yang suatu ketika dahulu adalah sekutunya, kelak ia sendiri yang akan menjadi saksi atas perlakuan maksiatnya,” katanya. - Harian Metro
from The Reporter http://bit.ly/2LF9rCn
via IFTTT