Seorang lelaki cedera parah di bahagian kepala dan bahu ditetak oleh penyamun di sebuah bank di Taman Sri Sinar, Segambut, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa berusia 24 tahun ketika itu sedang mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Tidak berapa lama kemudian, suspek yang bersenjatakan kapak datang menghampiri dan memaksa mangsa menyerahkan wang.
Namun, mangsa enggan menuruti kehendak suspek dan memilih untuk melawan menyebabkan berlakunya pergelutan sebelum dia ditetak dengan kapak di bahagian kepala dan belakang bahu.
Suspek yang tidak berjaya menyamun mangsa kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.
"Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.
"Hasil maklumat dan risikan dilakukan, kami berjaya menahan dua suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu kira-kira jam 10 malam tadi.
"Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 dan 33 tahun itu akan dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan samun menggunakan senjata," katanya.
Video kejadian yang menunjukkan mangsa cedera berlumuran darah itu juga viral di media sosial.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter http://bit.ly/2EPn0hV
via IFTTT