Bayi 18 bulan maut tersembam dalam baldi berisi air


Bayi berusia 18 bulan ditemui maut tersembam dalam baldi berisi air di dalam tandas kediaman ibu bapanya.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari semalam di Bukit Tunggal, Kuala Nerus, mangsa, ditemui dalam keadaan kebiruan dan tidak sedarkan diri dalam baldi oleh ibu bapanya selepas mendapati mangsa tiada di tempat tidur di dalam bilik. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika pasangan suami isteri berkenaan sedang tidur selepas keletihan bekerja. 

"Sebaik bapa mangsa bangun tidur kira-kira jam 12 tengah hari, dia terkejut apabila mendapati anak bongsu daripada sembilan beradik itu tiada di tempat tidur, lalu mengejutkan isterinya berusia 47 tahun. 

"Mereka kemudian mencari di serata rumah sebelum menemui bayi itu dalam keadaan tersembam dan tidak sedarkan diri dalam baldi berisi air di dalam bili kair. 

"Bapa mangsa berusia 40-an bersama isterinya kemudian mengejarkan kanak-kanak itu yang sudah kebiruan ke Klinik kesihatan Bukit Tunggal untuk mendapatkan rawatan. 

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas kira-kira 50 minit diberi bantuan kecemasan di klinik berkenaan," katanya. 

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut. 

Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas. 

Menurut bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi, pintu bilik air rumah rosak, menyebabkan anaknya itu selalu masuk ke bilik air sebelum mereka tidur.

Sumber: Harian Metro


from The Reporter http://bit.ly/2BkGGXZ
via IFTTT