"Majlis keraian atau perkahwinan tanpa alunan muzik umpama majlis kematian," demikian respon netizen terhadap berita yang mewajibkan pihak penganjur mendapatkan lesen muzik sebanyak RM600 jika mahu memainkan muzik di majlis mereka.
Music Right Malaysia (MRM) dalam kenyataan yang disiarkan di Utusan Online hari ini berkata, semua majlis keraian atau perkahwinan yang mahu memainkan alatan muzik sama ada secara rakaman atau secara langsung akan dikenakan lesen muzik sebanyak RM600 daripada MRM.
MRM menegaskan, memainkan muzik tanpa lesen adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987.
"Ini kerana tindakan itu dianggap sebagai menafikan bayaran terhadap penggunaaan harta intelek yang dimiliki pengkarya muzik, syarikat rakaman dan artis rakaman.
"Oleh itu, sila pastikan acara perkahwinan yang memainkan muzik dalam bentuk rakaman atau secara langsung mendapatkan lesen muzik daripada MRM," katanya.
Difahamkan, MRM telah diberi mandat sebagai pelesen tunggal oleh agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada ketika itu, dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 1 Januari 2017, untuk mengeluarkan lesen muzik dan kutipan bayaran di negara ini.
Sementara itu di media sosial, netizen mempersoalkan penguatkuasaan itu yang disifatkan tidak munasabah.
"Tak masuk akal. Pasangan muzik di majlis perkahwinan hanya untuk memeriahkan majlis, bukannya untuk meraih keuntungan," kata netizen.
Walaupun netizen membantah, peraturan itu telahpun dilaksanakan sejak 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional ketika itu.
Tidak kurang juga, ada netizen tertanya-tanya apakah nasib golongan busker yang mencari makan dengan memainkan muzik artis yang 'berlesen'.
from The Reporter http://bit.ly/2TW0dVa
via IFTTT