(Video) Wanita OKU umpan budak perempuan dengan patung sebelum menculiknya


Polis telah menahan seorang wanita yang disyaki terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia selepas dia dirakam cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dalam kejadian di siang hari. 

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek sebelum itu memerhatikan tiga kanak-kanak bermain berhampiran kedai pakaian di Pingdingshan, Henan, China, jam 3 petang, Jumaat lalu. 

Beberapa minit kemudian, suspek menggunakan patung untuk mengumpan mangsa sebelum perlahan-lahan membawanya beredar dari situ. 

Bapa mangsa melaporkan kehilangan anaknya selepas gagal mencari mangsa. 

Dalam masa yang sama, polis menerima laporan dari pemandu teksi motosikal yang berkata dia ada membawa penumpang yang mencurigakan bersama dengan seorang kanak-kanak perempuan yang tidak berhenti menangis. 

"Saya bertanya pada wanita itu adakah dia (suspek) terlibat dengan sindiket pemerdagangan orang memandangkan kanak-kanak itu menangis tanpa henti," katanya kepada polis. 

"Kemudian saya bertanya pada kanak-kanak itu adakah dia mengenali wanita terbabit, dia kata tidak," katanya. 

Susulan maklumat dan laporan itu, polis terus melakukan pencarian di kawasan kejadian dan akhirnya berjaya menahan suspek, dua jam selepas kejadian itu, di pintu masuk ke lebuh raya. 

Suspek yang merupakan OKU pekak dan bisu kemudian memberitahu ada pihak yang membayarnya 10,000 yuan (RM6,000) untuk menculik kanak-kanak. 

Mangsa berjaya diselamatkan dan diserahkan semula kepada keluarganya. 

Polis kini sedang menjalankan siasatan. 


Kes penculikan kanak-kanak adalah masalah yang serius di China, terutamanya di kawasan pendalaman. Salah satu punca utama kegiatan ini berlaku kerana ada sesetengah keluarga di negara itu lebih menggemari anak lelaki berbanding anak perempuan. Akibatnya, mereka sanggup mengeluarkan wang untuk membeli bayi lelaki. 

Menurut laporan media tempatan, China mencatatkan sebanyak 200,000 bayi lelaki dan perempuan hilang ssetiap tahun. Dari jumlah itu, hanya 200 atau 0.1 peratus mangsa culik mampu mencari keluarga mereka semula. 

Laporan itu turut menyatakna, kira-kira satu juta pengemis di China kebanyakannya adalah mangsa culik sindiket pemerdagangan manusia atau dipaksa oleh keluarga sendiri untuk mengemis. 

Sumber: Daily Mail 


from The Reporter http://bit.ly/2DtKpnq
via IFTTT