Suami dipenjara 25 tahun kerana paksa isteri melacur untuk beli lampin dan susu bayi


Penganggur berusia 27 tahun yang didakwa memaksa isterinya untuk melacur bagi memperoleh wang membeli lampin pakai buang serta susu bayi mereka dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 24 sebatan, hari ini, lapor Asia One. 

Tertuduh juga mengaku memaksa anak perempuannya berusia enam tahun melakukan seks oral dengannya dan menanggalkan baju, mencium dan mencabul anak saudaranya yang berusia 13 tahun. 

Hakim Mahkamah Tinggi Singapura, Chan Seng Onn berkata, tertuduh sepatutnya melindungi ketiga-tiga mangsa, bukannya menjadikan mereka sebagai tempat untuk melampias nafsu serakah. 

Tertuduh juga kerap melakukan keganasan terhadap isterinya yang berusia 28 tahun dan menderanya secara emosi bagi memeastikan mangsa memenuhi kuota harian (pelacuran). 

Dalam tempoh tiga bulan antara bulan Jun hingga Ogos 2016, mangsa telah dipaksa melayani nafsu 138 lelaki dan suaminya meraih pendapatan dari perbuatan terkutuknya itu sebanyak SD$11,000 (RM33,113.46). 

Bagaimanapun, perbuatan jenayah tertuduh terbongkar selepas ibunya membuat laporan polis pada Ogos 2016 kerana melakukan serangan seksual terhadap cucu perempuannya. 

Mahkamah dimaklumkan, tertuduh telah lama mendera isterinya, malah sebelum mereka berkahwin pada tahun 2012. 

Tertuduh mula memukul mangsa sejak tahun 2009, setahun selepas menjalinkan hubungan. Kejadian itu semakin kerap berlaku apabila mangsa disahkan mengandung. Dari bulan Jun 2015, mangsa didera sekurang-kurangnya sekali seminggu. 

Mangsa tidak berani menggunakan telefon bimbitnya atau menghubungi keluarganya. Dia juga tidak melaporkan perkara itu kepada polis kerana telah diugut bunuh oleh tertuduh sekiranya berbuat demikian. 

Dalam tempoh 2010 hingga 2015, keluarga itu bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja sebagai receptionist dan pembantu pejabat dengan pendapatan SD$1,800 (RM5,418.57) sebulan yang diberikan terus kepada suaminya.

Langit tidak selalunya cerah, pasangan itu mengalami masalah kewangan dan mangsa terpaksa berhenti kerja. 

Pada Jun 2016, tertuduh menolak cadangan isteri yang meminta dia mencari kerja, malah memaksa mangsa menyara keluarga dengan melacurkan dirinya. 

Tertuduh menggunakan media sosial untuk mencari pelanggan dan mengajar isterinya bagaimana mencari pelanggan di media sosial. 

Tertuduh juga mengajar mangsa mengiklankan dirinya sebagai ibu tunggal agar ramai pelanggan yang berminat mendapatkan khidmatnya. 

Tertuduh meminta isterinya mengenakan bayaran antara SD$80-SD$100 (RM240-RM300) untuk tempoh sejam dan SD$120 (RM360) untuk tempoh dua jam. 

Selain itu, mangsa perlu mencapai sasaran pelanggannya setiap hari tanpa gagal atau terpaksa bekerja lebih masa pada hari seterusnya. 

Lelaki itu pula secara sembunyi merakam mangsa yang sedang melakukan hubungan seks dengan pelanggan, untuk memuaskan nafsu peliknya. 

Dalam satu kejadian, tertuduh memaksa isterinya memberi khidmat seks kepada pelanggan yang merupakan bekas rakan sekelasnya. Apabila mangsa gagal memujuk rakannya untuk melakukan hubungan seks 'threesome', mangsa ditumbuk dan dipukul dengan 'dumb-bell'. 

Antara Julai dan Ogos 2016, pasangan itu bersama dengan dua orang anak mereka terpaksa berpindah ke hotel selepas tertuduh bergaduh dengan ibunya. 

Mahkamah diberitahu, selepas tertuduh melakukan hubungan seks dengan isterinya, tertuduh memaksa anak perempuannya melakukan seks oral walaupun pada ketika itu tertuduh merasakan dirinya dijangkiti penyakit kelamin. 

Tertuduh berhenti selepas isterinya ternampak perbuatannya itu dan mengancam dua beranak itu untuk menutup mulut atau dibelasah. 

Pada petang 31 Julai, tertuduh berang dengan isterinya yang gagal mencari pelanggan kerana tertidur akibat keletihan. Mangsa dibelasah dan memaksanya membawa anak saudara (mangsa ketiga) kepadanya. 

Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana bimbang suaminya akan menyerang anak saudaranya itu. Tetapi akhirnya terpaksa akur selepas tertuduh mengugut akan membelasahnya lagi. 

Mangsa menunggu di luar sekolah anak saudaranya itu pada jam 6.30 pagi pada 1 Ogos dan membawanya ke hotel dan meninggalkannya di situ selepas dia meminta anak saudaranya mandi. 

Mangsa kemudian menyerahkan kunci kepada suaminya yang segera menanggalkan pakaian lalu memeluk remaja berusia 13 tahun itu sebaik saja dia keluar dari bilik mandi. 

Tertuduh terus mencampak mangsa ke atas katil, membuka baju, baju dalam dan menciumnya. 

Tertuduh menggunakan bantal untuk menutup mulut mangsa yang menjerit dan hanya berhenti berbuat demikian selepas mendapati mangsa tidak lagi bersuara. Panik dengan keadaan itu, tertuduh memaklumkan kepada isterinya dan mangsa dibawa ke klinik berhampiran dan meminta sijil cuti sakit sebagai alasan untuk mengecualikan mangsa dari sesi persekolahan pada hari itu. 

Remaja itu kembali semula ke sekolah dan tidak memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa. 

Pada 14 Ogos, keluarga itu kembali tinggal bersama dengan ibu tertuduh. 20 Ogos, ibu tertuduh menghubungi polis selepas cucunya mendedahkan perbuatan bapanya yang melakukan perbuatan terkutuk itu. 

Sumber: Asia One


from The Reporter http://bit.ly/2tqSIKO
via IFTTT