'Jangan ingat rakyat Sarawak bodoh' - Nancy selar Putrajaya tarik balik 3 projek jambatan di Sarawak


Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri memberi amaran kepada Putrajaya agar tidak menganggap rakyat Sarawak bodoh. Kenyataan itu dibuat berikutan Kerajaan Pusat menarik balik projek pembinaan tiga jambatan atas alasan kekangan kewangan. 

Menurut Nancy, beberapa wakil rakyat Sarawak sebelum ini membangkitkan isu pembinaan jambatan di Igan, Rambungan dan Batang Lupar serta beberapa pembangunan lain di Dewan Rakyat. Tetapi alasan yang diberikan, tetap sama iaitu kekangan kewangan. 

"Kerajaan persekutuan atau mana-mana parti pemerintah harus memberi kemudahan ini untuk kegunaan rakyat Sarawak. Tidak bolehlah kata tidak ada duit. Sudah beberapa kali isu ini dibangkitkan di Dewan Rakyat, menteri asyik kata tunggu lagi. 

"Kami bukannya bodoh, cakap duit tidak ada tetapi sebenarnya banyak duit. Kalau jadi pemimpin, jadilah pemimpin untuk semua rakyat. Masa pilihan raya bolehlah bergaduh untuk menang. Tetapi selepas pilihan raya, janganlah berdendam," katanya memetik laporan dari Free Malaysia Today (FMT). 

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg mengkritik dan menggelar Putrajaya buruk selepas selepas menarik balik projek pembinaan tiga jambatan itu dan beberapa projek lain. 

Menurut Nancy lagi, selain tiga projek tersebut, beberapa projek-projek pembangunan kecil lain yang bernilai RM20,000 hingga RM30,000 turut dibatalkan.

"Betapa kejamnya kerajaan yang ada pada hari ini. Saya kata demikian kerana kami merasainya, saya bersyukur kerana kerajaan Sarawak dapat berikan kami peruntukan. Jika tidak diberikan peruntukan, kami turun ke kawasan tidak ada duit," katanya.

Nancy berkata, walaupun negerinya dikatakan ketinggalan namun banyak projek hendak dilaksanakan disitu dan banyak pihak hendak berkawan dengan orang Sarawak.

“Mereka hendak gunakan sebagai proksi. Saya cakap betul, jangan perbodohkan kami, kerana ini adalah hak orang Sarawak,” katanya.

Menurut Nancy, mana-mana pihak mempersoalkan apakah sumbangan Barisan Nasional (BN) selama 55 tahun di Sarawak harus melihat semula diri mereka, memandangkan setiap pembangunan di negeri berkenaan dilakukan kerajaan terdahulu.

“Ada yang kata BN memerintah selama 55 tahun, apa yang BN lakukan. Jangan malukan diri sendiri, jangan soal kami sedemikian. Jika tidak kerana BN, anda bersekolah di mana? Jalan mana yang anda lalui? Setakat ini mana dia legasi dari PH?

“Jangan sombonglah, semua keindahan dan pembangunan di Sarawak itu daripada kerajaan BN. Saya marah sebab kami sudah buat kerja. Kami dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak malu berjalan mendongakkan kepala. Kami bangga kerana tahu sudah jalankan tugas dengan baik,” katanya.



from The Reporter https://ift.tt/2I1VH54
via IFTTT