Penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bergelut dengan pelajar Universiti Malaya (UM) yang memegang plakad "Najib Tak Malu" dan "Pulangkan Duit Rakyat" serta karikatur badut yang menyerupai Najib.
Najib pada ketika itu sedang berucap dalam program santai di Restoran Amjal yang terletak di hadapan UM.
Tidak puas hati melihat plakad itu, penyokong Najib kemudian datang dan mengoyakkan plakad tersebut dan tercetus pergaduhan.
Berdasarkan klip video pemberita, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam turut mengoyakkan plakad itu.
"Kita tak peduli, tapi bila dia guna gambar Najib, itu gambar bos kita. Hak kitalah kita nak ambil gambar tu, nak koyak kan ke, kan?" katanya.
Dalam kejadian itu, Presiden Persatuan Belia Baru UM, Wong Yan Ke, dicekik penyokong UMNO dari belakang sebelum pergelutan itu dileraikan di mana kumpulan pelajar terbabit berundur.
Tidak beberapa lama kemudian, polis tiba di lokasi kejadian dan membawa kesemua pelajar itu ke Balai Polis Pantai.
Menurut Wong, mereka dibawa ke balai bukan untuk disiasat, sebalik polis mahu melindungi mereka.
Sementara itu, Najib mendakwa tindakan sekumpulan pelajar itu adalah sebagai provokasi terancang dengan menggunakan propaganda PH lama "Mana RM2.6b".
Lokman Adam pula mempertahankan tindakannya itu dan memberi amaran bahawa dia tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina Najib.
Dia juga berkata, sekumpulan pelajar itu sepatutnya berterima kasih kepada mereka kerana menyelamatkan pelajar itu daripada dipukul orang ramai yang didakwa menyirap dengan kebiadaban mereka.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin melalui Twitternya berkata, UMNO wajib mengecam tindakan sekumpulan penyokong Najib terhadap pelajar terbabit.
Beliau juga bersetuju dengan komen Ali Amir Razali bahawa Lobak Man (Lokman Adam) tidak sepatutnya menyerang sekumpulan pelajar terbabit di mana tindakan itu menyebabkan UMNO selalu digelar sebagai gangster.
Sumber: Malaysia Kini
from The Reporter https://ift.tt/2ToQV3t
via IFTTT