'Cikgu, ini parut kawan mak cucuh dengan besi panas' - 2 beradik didera ibu & pasangannya pengkid selama 2 tahun



Mengucap panjang membaca kisah dua beradik ini yang didera oleh ibu kandung dan juga pasangannya, 'pengkid' selama dua tahun. 

Penderitaan dua beradik itu berakhir apabila si kakak berjaya meloloskan diri lalu lari ke rumah neneknya sebelum dibawa membuat laporan polis. 

Dua tahun mereka didera, dicucuh dengan besi panas, dipaksa tidur dalam bilik air, simen dan banyak lagi yang mungkin kita tidak ketahui. Alangkah peritnya hidup seperti itu. Tak sanggup nak bayangkan. Tergamak seorang ibu melakukan darah dagingnya begini.

"CIKGU, saya tidur dalam bilik air hampir setiap malam. Kena basuh baju lima orang guna tangan. Adik saya pula tidur kat luar atas simen," kata Alia sambil tersenyum.

Demi Tuhan aku tidak pernah rasa sebak seperti hari ini. Dah banyak kes aku santuni, kes Alia paling meruntun hati. Perlahan dia selak kaki seluarnya dan kata,

"Cikgu. Ni parut kawan mak cucuh dengan besi panas."

"Sakit tak?" tiba-tiba terpancul soalan bodoh dari aku.

Dia tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala. Senyumannya manis sungguh. Senyuman paling manis aku pernah saksikan. Senyumannya itu merobek hatiku. Terasa dikoyak-koyak, terasa dicarik-carik hati ini. Betapa dia menerima semua dugaan ini dengan senyuman dan ketabahan. Dua tahun bukan satu tempoh singkat. Didera ibu dan pasangan ibu sendiri (pengkid).

Hari ini, polis berjaya mengesan adik perempuannya yang berusia 10 tahun. Punyalah neneknya lega bila adiknya dapat diselamatkan. Dan si pengkid celaka itu ditangkap polis. Pengkid itulah yang banyak kali mencucuh Alia dan adiknya dengan besi panas, pernah merotan badan mereka bukan hanya di kaki, bahkan badan dan kepala. Ya, kepala pun pernah dirotan. Entah apa dosa anak kecil yang comel ini.

Si ibu masih bebas. Namun aku percaya tidak lama. Sehari dua lagi pasti akan ditangkap juga.

Kisahnya begini...

Ibu dan ayah Alia bercerai dua tahun lepas. Hak penjagaan dapat kepada ayah Alia dan mereka tinggal di rumah neneknya.

Ramadan 2017, si ibu datang kata nak melawat Alia dan adiknya untuk berbuka puasa. Namun sebaik keluar rumah, bayangan mereka tidak lagi kelihatan. Alia kini berusia 13 tahun. Adiknya pula 10 tahun. Badannya kurus keding dan kecil bagai budak darjah 5. Allahu, sedihnya tengok fizikal dia.

Alia ini murid bijak. Pernah mendapat tempat pertama dalam kelas semasa tahun 4. Namun sejak dilarikan ibu kandung, dia dan adiknya tidak bersekolah. 

Adiknya pun murid yang pintar. Namun nasib mereka berdua dilarikan oleh ibu yang tidak bertanggungjawab. Tidak lagi bersekolah sejak itu. Bahkan i/c Alia pun ibunya tidak buatkan meskipun usianya dah mencecah 13 tahun. Kejamnya.

Ibunya ada kawan (pasangan). Seorang pengkid. Si pengkid durjana inilah paling banyak mendera mereka. Ibu kerja direct selling sahaja. Menyewa bilik bersama pasangan durjana dan Alia serta adiknya.

Bertahun hidup dengan sengsara, sampai beberapa hari lepas, Alia berjaya meloloskan diri dan lari ke rumah neneknya. Terus neneknya bawa ke balai polis dan laporkan kes penderaan ini.

Alia dibawa ke hospital untuk diperiksa dan ternyata ada kesan dera yang berparut ditubuhnya. Serbuan polis semalam tidak berjaya menjumpai adiknya. Namun hari ini, adiknya pula dapat diselamatkan dan si pengkid durjana dapat ditangkap. Tahniah Polis Diraja Malaysia!

Aku meluangkan masa lebih kurang 20 minit bersama neneknya dan Alia. Banyak cerita yang mereka kisahkan pada aku. Setiap cerita yang Alia bagitahu, semuanya dalam senyuman. Ah anak. Tabah sungguh hatimu. Senyumanmu itu sangat-sangat memilukan. Kerana aku tahu kau menyorok 1,001 kisah duka dan derita disebalik senyuman manismu.

Seronok Alia bila aku hadiahkan buku-buku tulisan aku. Dia sangat suka membaca. Sangat!

"Alia. Ini untuk Alia tau. Ada cikgu tulis kata-kata semangat dalam ni. Bacalah. Dan ini nombor telefon cikgu. Ada apa-apa masalah, telefon cikgu ya!"

Alia mengangguk tanda faham.

Sebelum aku pergi, dia hulur tangan untuk bersalam. Dikucup tanganku penuh ikhlas. Dia senyum dan tatap mata aku dalam-dalam.

"Cikgu. Terima kasih. Terima kasih."

Ya Tuhannn... Hampir saja air mata aku jatuh. Sedaya upaya aku telan setiap titisan air mata. Aku perlu kuat depan Alia. Aku patut memberinya semangat. Aku hendak dia tahu aku seorang yang boleh dia harap saat semangatnya hilang. Demi Tuhan, aku sangat ingin memeluk dia saat itu. Jika tidak kerana tegahan agama, anak ini pasti aku peluk erat-erat.

Matanya itu, senyumannya itu, raut wajahnya, memberi perasaan sebak yang sangat.

Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja lantas beredar. Aku tidak lagi boleh duduk lama kerana takungan air mata hampir tidak boleh ditahan lagi.

Alia. Terus kuat. Terus tabah. Bacalah buku-buku cikgu. Ada semangat untukmu dalam buku-buku itu. Alia. Kamu simpan nombor cikgu. Jangan malu jangan segan untuk hubungi untuk apa-apa sekali pun. Alia. Kamu terus kuat dan tabah. Doa cikgu sentiasa ada bersama. Alia. Kamu akan baik-baik saja. Tenanglah. Senyumlah. Alia. Cikgu bukan sesiapa. Namun cikgu akan selalu ada. Sentiasa. Ingat tu.



from The Reporter http://bit.ly/2GsU6Ux
via IFTTT