'Mereka (isteri) yang terima kita saat kita bukan siapa-siapa, tiada harta, tiada nama..' - Imam Muda Asyraf nasihat suami hargai isteri masing-masing


Teringat sewaktu saya mula berkahwin dulu. Masih belajar di UM, tiada pekerjaan tetap. Apa pun, terima kasih kepada mentua yang sudi menerima insan yang serba dhaif ini menjadi menantu. Walaupun ketika itu mereka tahu saya tidak mempunyai sumber kewangan yang utuh. 

Saya buat part time sebagai imam rawatib di masjid sebab nak sara anak orang sebagai isteri. Dengan gaji RM350 sebulan di Kuala Lumpur, apalah sangat yang mampu dinikmati. Sedangkan sewa rumah ketika itu RM450 sebulan. Terpaksa berniaga cari duit tambahan jual kitab, buat home tuition. Basah kuyup bersama isteri menaiki motosikal EX5, Menunggu bas di Pudu bersama untuk pulang ke kampung. 

Apa yang saya kagum dan saya akan ingat selamanya ialah pesanan dari seorang isteri. 

"Abang, Ayang tak minta abang bawa balik kemewahan. Tapi cukuplah dengan bawa pulang kepada keluarga rezeki yang barakah." 

Beliau langsung tak pernah minta wang untuk beli pakaian melainkan apa yang saya belikan. Beg tangan dan kasut seadanya. Kadang terusik di dalam hati seorang suami untuk membeli sesuatu untuk menggembirakan isteri. Tapi si suami tidak mampu. 

Rumah flat yang tiada katilnya beralas toto. Lantai simen tanpa tikar getah. Tiada meja makan. Kotak sebagai alas pinggan. Almari zip yang terkoyak di sisinya. Tapi saat itulah saat yang paling bahagia. Detik itulah yang paling sakinah. Payah namun indah. Rumah sempit namun hati lapang. 

Perit dahulu menekan keangkuhan. Sakit dahulu mengingatkan kesombongan. Semua yang kita dapat sekarang adalah pemberian Tuhan. Dia beri pinjam hari ini, maka tak sukar untuk Dia ambil semula esok hari. Beringat wahai si tuan badan. 

Saya kongsikan kisah ini bukan untuk khabarkan sejarah diri semata. Kerana saya tahu rasa saya ini pernah juga dirasai kebanyakan pasangan. Saya tidak berseorang dalam merasai pengalaman ini. Ramai yan turut melaluinya. Bersyukurlah apa yang ada, sebelum menangis bila dah tiada. 

Mereka yang menerima kita saat kita bukan siapa-siapa. Mereka terima kita saat kita tiada apa-apa. Mereka di sisi saat tiada siapa mengenali. Mereka bangga dengan kita walau kita tiada nama. Mereka sudi di sisi kita walau kita tidak berharta. 

Semoga Allah mengabadikan bahagia ini hingga ke syurga. 


from The Reporter http://bit.ly/2L09rAt
via IFTTT