Rider terbabas, maut diseret kenderaan berat sejauh 13 kilometer


Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dilaporkan maut selepas diseret sejauh 13 kilometer (KM) oleh sebuah kenderaan berat, lapor Harian Metro

Kejadian itu berlaku di KM 272.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, Ipoh, hari ini. 

Pihak PLUS menemui motosikal milik mangsa, Kawasaki Z800, bersama dengan kaki kiri mangsa di kawasan berkenaan. 

Mayat mangsa, Mohamad Haris Mohamad Fuad, 23, ditemui di KM 260, hampir 13 km dari lokasi mangsa dipercayai mula diseret. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 6:45 pagi. 

Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang bersendirian dan ketika itu dalam perjalanan ke rumah keluarganya di Pulau Pinang, dari Kuala Lumpur. 

"Mangsa dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum digilis kenderaan lain yang belum dapat dipastikan jenis dan terseret sejauh beberapa kilometer. 

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk dibedah siasat," katanya. 

Sementara itu, kakak mangsa, Nur Fatin Nabillah, 25, berkata, adik bongsunya dari empat beradik itu bekerja sebagai penyelia di tapak projek Sistem Transit Aliran Massa (MRT) di Kuala Lumpur.

Menurutnya, mangsa sudah dua tahun lebih bekerja dengan syarikat itu dan selalu pulang ke rumah keluarganya di Taman Desa Jawi, Pulau Pinang. 


"Awal pagi semalam dia ada memberitahu saya ingin pulang selepas habis bekerja. Daripada malam tadi kami tunggu dia tidak sampai-sampai sebelum pagi ini ayah dimaklumkan oleh polis mengenai kemalangan yang berlaku," katanya. 

Difahamkan, jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampungnya untuk dikebumikan. 

Sumber: Harian Metro


from The Reporter http://bit.ly/2UY4xbA
via IFTTT