'Saya alihkan babi di bawah, barang cikgu saya letak di atas sekali' - Guru terharu diberi layanan baik masyarakat Kenyah di Sarawak
Malaysia terkenal dengan masyarakat pelbagai kaum, suku dan bangsa. Pembentukan masyarakat majmuk ini telah mewujudkan satu bentuk toleransi, kepercayaan dan saling hormat-menghormati.
Perkongsian dari seorang guru ini membuktikan bahawa sikap-sikap mulia ini masih kekal sehingga kini walaupun terdapat perbezaan budaya dan juga agama. Segala perkongsiannya bukan bertujuan untuk meraih populariti, sebaliknya untuk memupuk toleransi dalam jiwa masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Diceritakan, beliau pada ketika itu buntu untuk memikirkan tempat untuk menyimpan stok barang-barang basah setelah generator sekolah telah kehabisan minyak. Dia tidak punya pilihan, dia ingin menumpang untuk menyimpan barang tersebut di rumah orang kampung. Apa yang mengejutkannya, tindakan orang kampung tersebut menyentuh hatinya.
"BOLEH saya tumpang letak barang dalam "ice box" kamu?"
"Tapi cikgu...ada babi dalam ni."
Aku sudah tiada pilihan lain. Generator sekolahku telah kehabisan minyak. Bekalan minyak baru pula tidak tahu bila akan tiba. Generator tidak dapat beroperasi malam itu dan kami bergelap. Aku bersama isteri dan anak kecil pula baru pulang ke sekolah setelah membeli stok barang-barang basah untuk sebulan di Bintulu.
Mahu atau tidak, malam itu aku membawa beberapa barang mentah yang dibeli ke rumah orang kampung berketurunan Kenyah yang terletak tidak jauh dari sekolah. Bimbang barang-barang makanan tersebut busuk dan akhirnya hanya diberi makan anjing.
"Tidak apa tu, saya sudah bungkus dalam plastik. Tidak ada masalah kalau ada babi dalam ice box kamu," ujarku kepada Rait.
Dia kelihatan serba-salah ketika aku menyatakan hasratku. Orang kampung di situ beragama Kristian. Hanya kami guru-guru dari Semenanjung yang beragama Islam di kawasan sekolah.
"Macam inilah cikgu, saya alihkan babi itu di bawah sekali. Saya atur (susun) barang-barang lain biar tindih babi itu di bawah sekali. Barang-barang cikgu saya letak atas sekali," Rait membalas.
Sungguh, sungguh aku terharu dengan apa yang dilakukan Rait. Walaupun dia tidak sebangsa, seagama denganku, namun dia menghormatiku sebagai Muslim. Sanggup dia bersusah-payah menyusun atur kembali barang-barang di dalam "ice box" agar daging babi kepunyaannya tidak bercampur dengan barang makananku.
Dan kisah Rait ini hanyalah satu daripada berjuta lagi kisah-kisah di Sarawak bagaimana masyarakat yang berbilang bangsa dan agama hidup harmoni menghormati satu sama lain.
Sumber: Muhammad Syauqi
from The Reporter http://bit.ly/2IQy68G
via IFTTT