'Siapa kata anak kampung tak boleh maju' - Pasangan ini bina banglo impian (CASH!) dengan hasil titik peluh berniaga ayam proses segar


Setiap kejayaan bermula dari bawah yang melalui pelbagai suka duka dalam perniagaannya. Dan pengalaman dari itu kelak akan mengajarnya untuk lebih tabah dan tidak berputus asa untuk meneruskan usahanya. 

Begitu juga yang dilalui oleh pasangan ini yang menjadi pengusaha ayam proses segar sejak 11 tahun lalu dan kini mampu membina banglo mereka sendiri. 


SURPRISE selama setahun saya mendirikan mahligai cinta dalam diam tanpa upload di Facebook, tanpa beritahu rakan-rakan dan followers di Facebook. Sebab apa saya selalu berpesan berangan tak salah, bercita-cita tinggi juga tak salah tetapi jangan beritahu orang. Set minda kita diam-diam, "aku nak usaha nak kejar cita-cita aku, matlamat aku". Buktikan dulu depan mata, baru sebarkan, baru orang salute pada kita. 

Sekarang saya dah buktikan impian dan cita-cita saya yang ingin mendirikan banglo mewah di usia muda berjaya. 

Siapa kata kahwin muda hidup sempit? Siapa kata orang tak ada sijil tinggi tak boleh berjaya? Siapa kata anak kampung tak boleh maju? 

Bermula kisah kami di alam perkahwinan bila imam jawab sah akad nikah tanggal 3 Januari 2008. Saat itu aku berusia 19 tahun dan suami berusia 22 tahun. Masing-masing tiada pekerjaan tetap, tetapi jodoh kami disatukan. 

Aku cuma bantu mak aku berniaga di warung dan suami aku bantu mak dia berniaga satay di pasar malam. Masing-masing berasal dari keluarga sederhana. Ayah aku mati ketika kau berumur sembilan tahun. 

Selepas berkahwin, kami nekad nak mulakan perniagaan sendiri. Perniagaan pertama kami berniaga satay di kaki lima, kedai orang. Modal diperoleh dari hantaran kahwin. Setiap hari rutin harian pagi beli ayam untuk dijadikan satay. Tiba-tiba terlintas nak berniaga ayam untuk menambah pendapatan. 


Kami buat kedai dengan kayu hutan di tanah peninggalan arwah ayah. Pagi berniaga ayam, malam kami berniaga satay. Bayangkan masa itu buat dua kerja, letih yang amat tetapi kami bahagia dengan kasih sayang. Jatuh bangun kami suami isteri tak pernah mengeluh. 

Tahun 2009, kami dikurniakan seorang puteri. Perniagaan pun berjalan lancar. Kami kumpul aset sikit-sikit dari menyewa upgrade ke rumah sendiri, muatlah tiga beranak. Dari kedai kayu hutan, kami upgrade ke batu. Dari motosikal, upgrade ke kereta. Bolehlah kami berteduh. 


Tahun 2011, Allah nak menduga kami. Kami dihalau dari tapak berniaga dan rumah kami kerana tanah peninggalan arwah ayah bertukar milik kepada ibu saudara. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga saya ketika arwah ayah nak menghembuskan nafas terkahirnya kata,

"Ayah bagi rumah dan tanah kat kakak dengan adik Ermaa Ismail. Jagalah elok-elok." 

Macam mana boleh bertukar hak milik pada orang lain? Hasil selidik, arwah ayah beli tanah tanpa tukar nama dan tanpa buat surat hitam putih. Tiada bukti kukuh yang tanah itu milik ayah. Masa itu Allah saja yang tahu kaki tangan menggigil sedih sebak serta terkejut kerana tidak menyangka ia menjadi begini. Kecewa dengan darah daging sendiri yang sanggup menganiaya saya. Allahu, duit dalam poket cuma ada beberapa ribu sahaja. Mana saya nak cari. 

Bermula dari hari itu, kami mula menabung. Kami buat empat kerja. Pagi saya letak satay yang siap bungkus di kedai-kedai kopi. Siap letak satay, saya berniaga ayam. Suami pula turun pagi selepas siapkan satay dan ayam dia kerja bawa lori tanah sampai petang malam kami bernaiga satay. Makan setahun juga kami bertungkus lumus bekerja dan berniaga, kami mampu bayar lunas tanah. 

Urusan naik pejabat tanah dibantu oleh Sarimah Mustapha dan peguam Ashiah Rahman Kak Yah. Alhamdulillah Allah mempermudahkan urusan sampai bertukar status hak milik di geran tanah. 

Pengajaran dari pengalaman saya kalau melibatkan hartanah, wang ringgit anak beranak, adik beradik boleh putus. Jadi letaklah sedikit keraguan dan tidak kepercayaan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. Allahuakbar kuasa Allah pemberi rezeki kepada orang yang bersabar. Kalau sudah tertulis harta itu milik kita, ia tetap akan menjadi milik kita. Doa orang-orang teraniaya dimakbulkan. 

Sekarang sudah 11 tahun kami bernaiga dan macam-macam dugaan dan ujian kami tempuh. Alhamdulillah berjaya. Sujud syukur di atas rezeki yang dikurniakan oleh yang Maha Kuasa Allah SWT. Air mata gembira mengalir di pipi tanpa sedar terasa macam mimpi, angan-angan yang menjadi kenyataann. 

Siapa sangka dengan hanya berniaga di tepi jalan, berniaga di kampung, kami suami isteri tidak mempunyai sijil tinggi boleh membina rumah banglo idaman di usia muda. Hasil titik peluh kami terdirilah mahligai cinta kami. Banglo idaman yang kami dirikan ini adalah tunai tanpa sebarang pinjaman. 

Kami dirikan banglo impian kami dengan hasil dari pekerjaan yang selalu dihina oleh masyarakat, dihina kerana busuk kerana tiada masa depan. Tidak seperti bekerja dengan kerajaan yang diagung-agungkan segelintir pihak. 

Pekerjaan kami tiada pencen, tiada KWSP, tiada SOCSO. Bukan setakat setengah masyarakat, malah ada sanak saudara serta keluarga juga pernah memandang rendah pada pekerjaan kami. Tetapi itu bukan alasan untuk saya dan suami menyerah kalah. Kami nekad dan berjanji akan mengubah tanggapan yang dilemparkan bahawa pekerjaan kampung juga ada masa depan kalau kita berusaha tanpa mengisa masa, penat dan lelah. 


Sekarang saya berumur 30 tahun, suami 33 tahun, banyak aset yang bernilai telah dikumpul seperti tanah-tanah lot, rumah, kedai sewa, lori, cawangan-cawangan perniagaan. Siapa sangka kan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. 




Tujuan saya buat kenyataan ini bukan nak riak atau berbangga diri atau mengaibkan sesiapa tetapi kami suami isteri ingin menyeru anak-anak muda supaya berusaha dan jangan malu atau segan dan malas berniaga apa pun sesuai dengan minat kita. 

Pedulikan kata-kata negatif di sekeliling kita. Anggap kata-kata mereka itu sebagai pembakar semangat untuk berjaya dan buktikan anda boleh berjaya seperti orang lain. Jangan pernah berdendam, benci dengan orang yang buat buruk, yang menghina dan mengecam kita, yagn menganiaya kita. Anggap itu satu ujian Allah Taala untuk kita supaya hati kita selalu tenang, sabar dan mencabar diri kita untuk buktikan kita mampu berjaya. 

Jangan lupa berbuat baik kepada ibu bapa. Ingat kalau ibu bapa kita redha, maka terbuka luas pintu rezeki. Bersedekahlah walaupun sedikit, jangan tunggu kita kaya baru nak bersedekah. Jaga silaturrahim dengan orang sekeliling, jaga solat dna jangan cepat melatah. Kawal emosi, jaga adab. InsyaAllah apa yang kita impikan akan terlaksana. 

Tips saya, janganlah kamu mengeluh dengan ujian yang Allah berikan kerana setiap kepahitan akan diganti dengan kemiskinan. Jika ingin berjaya, jangan mudah patah semangat, buat selagi boleh walaupun keluar air mata berdarah, jangan bagi alasan. Berdoa, mungkin kerana Allah mendengar doa-doa anda. Menabunglah walaupun dalam kuantiti sedikit. 

Ketika aku sedang menaip cerita ini, tak tahulah berapa baldi dah air mata aku gugur mengenangkan segala dugaan dan ujian menimpa kami sekeluarga. 



from The Reporter http://bit.ly/2UMgHza
via IFTTT