Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dan merempuh kenderaan lain dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Transperak, Changkat Lada, di Kampung Gajah hari ini, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, pemandu Vios, Tan Boon Kiat, 28, dari Changkat Jong, Teluk Intan, maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala dua lagi pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abidin berkata, kemalangan itu melibatkan kereta Toyota Vios, Perodua Myvi dan sebuah lori jenis Hino.
Siasatan awal mendapati, dua buah kereta itu dalam perjalanan menuju ke Kampung Gajah dari arah Jejawi, manakala lori pula dari arah bertentangan.
Pemandu Vios dikatakan cuba memotong kereta Myvi tetapi tidak sempat masuk semula ke laluannya lalu bertembung dengan lori.
Akibatnya, kereta mangsa berpusing lalu melanggar Myvi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter http://bit.ly/2WbYXmK
via IFTTT