Rawatan pemindahan tulang sum-sum bagi Rais Rafael Rozaidi, 3, kini sudah tergendala selama satu bulan setelah kedua ibu bapanya gagal memperolehi dana sebanyak RM33,000 untuk menanggung kos rawatan itu.
Rais yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang mata kirinya beberapa hari lalu akibat kanser mata ganjil, retinoblastoma kini perlu menjalani rawatan pemindahan tulang sum-sum kerana sel kanser sudah merebak ke bahagian tulang rusuk yang kini berada di tahap empat.
Ibunya, Noraisyah Fathin Che Azmi, 31 berkata penyakit yang dihidapi oleh anaknya mula didiagnos sejak Disember tahun lalu setelah Rais mengalami sakit mata yang berterusan. Rais kemudiannya sering mengadu sakit kepala sebelum disahkan mengalami retinoblastoma oleh pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Rais sudah menjalani tiga pusingan kimoterapi sebelum pembedahan membuang mata kirinya namun kanser ini sudah di tahap empat dan merebak ke bahagian tulang rusuk. Sepatutnya dia sudah menjalani pemindahan tulang sum-sum tetapi terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan dana," katanya kepada pemberita di rumahnya di Teluk Bahang di sini hari ini.
Noraisyah yang hanya bergantung kepada pendapatan sebagai penjual kuih yang diusahakan bersama suami, Rozaidi Mohamed, 31 berkata pembiayaan perubatan Rais pada awalnya adalah daripada sumbangan orang awam. Tambahnya lagi, pendapatan bulanan daripada hasil menjual kuih adalah sekitar RM 1,000.
Kata Noraisyah, Rais amat selesa dengan mata kirinya yang kini telah digantikan dengan mata palsu. Beliau kini sama aktif seperti kanak-kanak seusianya walaupun tubuhnya telah susut enam kilogram (kg) akibat rawatan kimoterapi.
"Ketika dia mula disahkan mengidap kanser, saya rasa kehidupan ini seolah-olah tidak bermakna, namun selepas berjumpa dengan ramai ibu bapa pesakit kanser, saya mula positif bagi menghadapinya. Saya perlu kuat dan bersama-sama Rais Rafael bagi melawan penyakit itu," katanya.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB milik Noraisyah Fathin bernombor 7054122450.
Keluarga Noraisyah turut menerima sumbangan dari The Light Hotel (M) Sdn Bhd menerusi satu rombongan yang diketuai pengarah pemasaran dan komunikasinya, Siti Fatimah SME Packeer Mohd hari ini bersama-sama anggota Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara.
"Kami akan meneliti semula sumbangan yang sesuai bagi membantu Rais Rafael dalam melawan penyakitnya atau bantuan lain yang diperlukan keluarga berkenaan,” kata Siti Fatimah, sambil menambah mereka turut memberi sumbangan kepada empat buah keluarga penghidap kanser dan ibu tunggal sekitar Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah. - BERNAMA
from The Reporter http://bit.ly/2JOcCcL
via IFTTT