Kapal Pengawas Perikanan Indonesia didakwa merempuh dan menahan kapal nelayan tempatan di kedudukan 37.4 batu nautika tenggara Pulau Jarak, Lumut, iaitu tujuh batu nautika dari garisan sempadan kedua-dua negara, hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.30 pagi, rempuhan itu menyebabkan tekong bot nelayan dan dua kru mengalami kecederaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, di mana pihaknya menerima aduan sebuah kapal penguat kuasa Indonesia bertindak ganas dengan merempuh bot nelayan tempatan.
Sebaik saja menerima maklumat itu, APMM segera mengerahkan Bot Penggalang bersama pesawat udara ke lokasi dan menemui bot nelayan tempatan yang ditahan itu.
"Bot berkenaan sedang ditunda kapal KP Orca 02 di lokasi 35.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak, iaitu lima batu nautika dari garisan sempadan pada jam 8.50 pagi.
"Bot Penggalang kemudian merapat ke kapal negara jiran itu dan seterusnya tiga anggota penguat kuasa APMM menaiki KP Orca 02 pada jam 10.15 pagi untuk berunding bagi melepaskan bot ditahan.
"Bagaimanapun, pihak berkuasa berkenaan enggan melepaskan bot nelayan tempatan yang sedang ditahan dalam perairan negara (Malaysia).
"Sehingga jam 11.30 pagi, Bot Penggalang memaklumkan mereka terpaksa mengiringi kapal Orca 02 yang enggan melepaskan bot berkenaan sehingga ke garisan sempadan Malaysia-Indonesia.
"APMM kesal dengan kejadian yang berlaku dan tidak menyangka penguat kuasa Indonesia bertindak melampaui undang-undang negara dan antarabangsa serta tidak menghiraukan keselamatan serta nyawa nelayan," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter http://bit.ly/2WSziux
via IFTTT