Majikan didakwa bunuh pembantu rumah dibebaskan dari tuduhan membunuh kerana mengalami masalah kesihatan


Pada 19 April, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Akhtar Tahir, membebaskan Ambika MA Shan, 61, daripada tuduhan membunuh pembantu rumahnya (warga Indonesia), Adelina Jerima Sau, 26, yang meninggal dunia akibat kegagalan organ berikutan penderaan yang dialaminya di rumah majikannya di Bukit Mertajam, tahun lalu. 

Terdahulu, jiran melaporkan ternampak Adelina tidur di luar rumah Ambika bersebelahan dengan seekor anjing dengan kesan terbakar di kaki dan tangan, serta kesan lebam di muka dan badannya. 

Difahamkan, Adelina tidak dibenarkan berada di dalam rumah kerana bimbang nanah dari badannya meleleh dan mengotori rumah. 

Pembebasan Ambika itu menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak termasuk pihak keluarga mangsa yang tidak berputus asa menuntut keadilan untuk anak mereka. 

Menjelaskan mengenai pembebasan itu Akhtar berkata, Ambika dibebaskan semasa perbicaraan sedang berjalan adalah kerana peguam kerajaan tidak mengemukakan alasan kukuh bagi keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA). 

Akhtar Tahir berkata, selepas disoal beberapa kali oleh mahkamah berhubung permohonan itu, timbalan pendakwa raya hanya berkata, beliau diberitahu supaya memohon DNAA.

Katanya, dengan merujuk kepada Seksyen 254(3) Kanun Acara Jenayah, peguam pembelaan menggesa mahkamah membebaskan tertuduh kerana faktor umur dan keadaan kesihatan beliau. 

"Berdasarkan Seksyen 254 (3), jelas bahawa dalam hal keadaan tertentu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membuat keputusan membebaskan, bukannya DNAA," katanya memetik laporan dari Free Malaysia Today, Jumaat. 

Bagaimanapun katanya, meskipun Ambika dibebaskan daripada tuduhan membunuh, pendakwa masih boleh mendakwanya atas kesalahan lain sekiranya ia mahu berbuat demikian. 

Berikutan pembebasan Ambika, pihak kerajaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Pengurusan kes ditetapkan pada 12 Julai depan. 


LAPORAN BERKAITAN


from The Reporter http://bit.ly/2ZGD3oR
via IFTTT