'Mereka diterajang, air kencing dicurah dalam mulut, ditampar dengan selipar' - 4 bekas pekerja dedah pusat jagaan aniaya warga emas


Terdahulu, pengusaha pusat jagaan warga emas tampil menafikan dakwaan menganiaya dan mendera 12 penghuni pusat itu, selepas viral video dan gambar tersebut di media sosial. 

Bagaimanapun, empat bekas pekerja pusat jagaan tersebut tampil mendedahkan dengan lebih terperinci mengenai cerita 'Pusat Jagaan Warga Emas Seremban Neraka' itu dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah restoran, hari ini.

Mereka mendakwa, perbuatan zalim itu dilakukan oleh penyelia wanita pusat berkenaan dan pernah memaklumkan kepada pengusaha, malangnya ia ibarat melepaskan batuk di tangga. 

"PAKCIK DISEPAK TERAJANG, AIR KENCING DICURAH DALAM MULUT"

Ain, 24, yang bekerja di pusat itu sejak 2016 terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti pada Julai lalu kerana tidak sanggup melihat penghuni di situ dianiaya. 

"Saya tengok depan mata ada pakcik yang disepak terajang dan air kencing dicurah dalam mulut. Wang bantuan yang diberi juga turut diambil dan ubat kepada penghuni diberi sesuka hati. 

"Saya pernah mengadu kepada pengusaha, tetapi dia tidak pernah mahu dengar. Saya pun ada tegur penyelia tidak baik buat warga emas macam itu, tetapi dia pula ugut mahu mengadu pada pengusaha supaya berhentikan saya," katanya. 

Ain juga mendakwa dia pernah dipukul oleh penyelia terbabit kerana tidak mahu mendengar arahannya sehingga menyebabkan dia mengalmai trauma. 

PENGHUNI DIPUKUL DENGAN PENYAPU, DITAMPAR DENGAN SELIPAR

Fikri, 24, mendakwa melihat warga emas dilayani dengan teruk sejak tahun pertama bekerja di pusat itu pada November 2018. Namun dia tidak berani melawan.

"Saya pun pernah mengadu pada pengusaha, tetapi tiada tindakan. Lagipun saya tiada bukti kerana premis ini tiada kamera litar tertutup (CCTV)." katanya. 

Menurut Fitri, sudah menjadi kebiasaan penghuni di pusat itu dipukul oleh pelaku dan kejadian yang paling dia tidak dapat lupakan apabila ada penghuni yang dipukul dengan penyapu dan ditampar dengan selipar. 

Pegawai JKM juga katanya, pernah datang melawat premis itu setelah menerima aduan. Malangnya tiada sebarang tindakan yang diambil. 

"Kebanyakan penghuni ada masalah kesihatan. Enam daripadanya terlantar dan nyanyuk pun ada. Itu kadang-kala menguji kesabaran untuk menguruskan mereka, tetapi tidak sepatutnya mereka dipukul," katanya.

"PENGHUNI DIIKAT PADA KERUSI DALAM KEADAAN BERLUMURAN DARAH" 

Faizal, 26, berkata, dia pernah melepaskan seorang penghuni lelaki yang dikurung di dalam bilik kerana terlalu agresif. Namun penyelia terbabit mengarahkannya mengurung semula lelaki itu dan diikat pada kerusi. 

"Saya tengok pakcik itu diikat dengan kerusi dan keadaannya berlumuran darah serta ada kesan bengkak. 

"Saya jadi geram, tapi yang kesalnya bila mengadu pada bos, dia tidak percaya. Saya tidak berani buat laporan pada pihak lain kerana takut mengganggu kerja," katanya selain menambah pernah menerima aduan dari penghuni lain yang tidak tahan tinggal di situ. 

"HARAP NASIB MEREKA TERANIAYA ITU TERBELA"

Dila, 24, mula bekerja di pusat itu sejak Mac 2018 dengan gaji RM1,000 sebulan juga tidak tahan bekerja di situ lalu mengambil keputusan untuk berhenti. 

Ini kerana dia sudah tidak tahan melihat warga emas di pusat itu diberi layanan buruk. 

"Cerita yang tular di Facebook itu semuanya betul kerana saya sendiri pernah tengok. Ada waris penghuni yang percaya dan ada yang tidak. 

"Saya harap nasib warga emas yang tinggal di situ terbela kerana saya pun ada emak dan ayah dan tidak mahu perkara sama berlaku kepada mereka," katanya. 

Empat bekas pekerja itu berkata, mereka tampil memberi kenyataan itu kerana mahu pihak berkuasa menyelamatkan warga emas di pusat jagaan itu dan mengambil tindakan terhadap pusat tersebut. 

Sumber: Sinar Harian

LAPORAN BERKAITAN


from The Reporter http://bit.ly/2KlSOOx
via IFTTT