Pelajar tikam guru kaunseling kerana berang dia bakal dibuang sekolah


Angkara dendam dan disebabkan mengalami tekanan dalam pelajaran, seorang pelajar tingkatan lima menikam guru kaunselingnya dalam kejadian di sebuah sekolah di Sungai Manggis, Banting pada Ahad.

Kejadian itu berlaku di bilik pembantu warden sekolah berkenaan kira-kira jam 8.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pelajar berusia 17 tahun itu dikatakan telah masuk ke dalam bilik tersebut sebelum menunggu mangsa masuk.

"Apabila mangsa masuk dan sedang membuka kasut, suspek bertindak menikam mangsa dan berlaku pergelutan. Mangsa ditikam beberapa kali di bahagian bahu oleh suspek sebelum melarikan diri.

"Sebilah pisau masih tertanam pada bahu mangsa sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Banting sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, polis yang menerima panggilan berhubung kejadian bergegas ke sekolah itu dan bertindak menahan pelajar berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati motif kejadian adalah dendam berikutan guru berkenaan dikatakan telah menetapkan peraturan yang terlalu ketat di sekolah dan asrama dan ini telah membuatkan suspek menjadi tertekan.

"Akibat tidak berpuas hati dan rasa tertekan yang melampau, suspek telah bertindak di luar jangkaan," katanya dan mengesahkan suspek tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Menurut laporan Kosmo, mangsa ditikam pisau oleh pelajarnya dipercayai berang selepas bakal dikenakan tindakan buang sekolah.

Mangsa, Muhammad Hasnan Salim berusia lingkungan 30-an kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.

Tambahnya, suspek kini direman lima hari sehingga Jumaat ini dan akan dirujuk di Unit Psikiatri Hospital Banting.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai sudah selesai dan kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya dalam tempoh terdekat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.



from The Reporter http://bit.ly/2WXDX3z
via IFTTT