Budak 2 tahun meninggal dunia akibat strok haba selepas tertinggal dalam kereta 2 jam


Seorang kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan dilaporkan meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam sebuah kereta pada 22 Julai lalu. 

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri setelah ditinggalkan dua jam oleh datuknya dalam kereta di luar pagar rumah mereka di Taman Sungai Raya, Jalan Air Hangat, Kuah, Langkawi. 

Difahamkan sebelum kejadian itu, mangsa mengikuti datuknya berumur 73 tahun untuk mengambil kakak dan abangnya pulang dari sekolah. 

Mangsa duduk di tempat duduk penumpang belakang bersama kakak dan abangnya yang dipercayai telah tertidur. 

Sampai di rumah, datuknya terus masuk ke dalam rumah dan menyangka mangsa telah keluar dari kereta. 

Dua jam kemudian, ibu mangsa bangun dari tidur dan menyedari mangsa tiada bersama kakak dan abangnya di dalam rumah lalu terus mencari mangsa sebelum mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di bahagian tempat duduk belakang Perodua Bezza. 

Mangsa yang tidak sedarkan diri terus dibawa ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia. 

Laporan bedah siasat masih belum dikeluarkan tetapi mangsa dipercayai meninggal dunia kerana strok haba. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika didapati berlaku kecuaian, ibu bapa atau penjaga bakal berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian


from The Reporter https://ift.tt/2MaZxe1
via IFTTT