Guru pedo dihukum penjara 80 tahun, 20 sebatan kerana rogol, cabul, liwat 8 muridnya


Seorang guru disiplin sekolah rendah di Beluran di Sandakan, Sabah, dijatuhi hukuman penjara berjumlah 80 tahun dan 20 sebatan atas 14 pertuduhan rogol, cabul serta liwat terhadap lapan murid perempuan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Kalthom Abd Samad menjatuhi hukuman itu terhadap Freddie @ Ampat Unsin, 56, di Sandakan hari ini.

Bagi dua pertuduhan merogol muridnya berumur sembilan tahun pada November 2015 dan 10 tahun pada Mac-Julai 2016 di sekolah tempat dia bekerja di Beluran, Freddie dijatuhi hukuman penjara masing-masing 15 dan 18 tahun serta diperintahkan supaya dikenakan masing-masing tiga serta empat sebatan.

Ummu Kalthom memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh dia didakwa pada 27 Disember 2017.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara berjumlah 43 tahun dan 12 sebatan atas 11 pertuduhan cabul supaya berjalan berturutan selepas Freddie menjalani hukuman bagi dua pertuduhan rogol itu.

Tiga daripada 11 pertuduhan cabul membabitkan hukuman penjara berjumlah 10 tahun dan tiga sebatan yang diperintahkan supaya berjalan serentak.

Tiga lagi pertuduhan cabul membabitkan jumlah hukuman penjara yang sama dan sebatan yang juga diperintahkan supaya berjalan serentak.

Freddie juga didapati bersalah atas 11 pertuduhan mencabul muridnya berumur enam hingga 10 tahun di sekolah sama antara Januari dan Julai 2016.

Dia juga didapati bersalah meliwat seorang pelajar 10 tahun di sekolah sama antara Jun dan Julai 2016 dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta satu sebatan yang akan dijalankan berturutan daripada kesalahan lain.

Ketika menyampaikan keputusannya, Ummu Kalthom berkata kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius kerana dia berkhidmat sebagai guru disiplin, bagaimanapun mengambil kesempatan dengan menjadikan kanak-kanak sebagainya mangsa dan mereka sepatutnya berasa selamat di bawah penyeliaannya di sekolah itu.

"Keadaan kesalahan dalam kes ini menunjukkan terdapat tentangan daripada mangsa, tetapi disebabkan kedudukan tertuduh sebagai guru meletakkan mangsa dalam keadaan tidak berdaya,” katanya.

Ketika mengemukakan rayuan, peguam Hamida Ambo memohon hukuman ringan memandangkan ini kesalahan pertama anak guamnya dan dia juga telah berkahwin serta mempunyai empat anak.

Perbicaraan bermula pada 19 Mac tahun lepas dan Freddie diperintahkan supaya membela diri pada 9 Mei tahun ini, dengan lebih 40 saksi memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Mark Etto mengendalikan pendakwaan kes.

Sumber: Bernama


from The Reporter https://ift.tt/2UfcvK1
via IFTTT