9.1 juta isi rumah bakal guna meter pintar menjelang 2026 - TNB


Hampir setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia tidak lama lagi akan mendapat kemudahan untuk mengesan corak dan penggunaan tenaga elektrik menerusi Advance Metering Infrastructure (AMI) atau meter pintar.

Ini berikutan rancangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk memasang 9.1 juta meter pintar menjelang 2026 untuk memudah cara faedah AMI secara menyeluruh untuk pelanggannya, sebagaimana dimandatkan Suruhanjaya Tenaga.

Pengarah Operasi Industri Suruhanjaya Tenaga, Roslee Esman berkata di bawah Tempoh Kawal-Atur 2 (RP2) dari 2018 hingga 2020, sejumlah 1.5 juta meter pintar dijadualkan dipasang di premis pelanggan di Melaka dan kawasan tertentu di Lembah Klang.

Pada masa ini, beliau berkata hampir 300,000 meter pintar telah berjaya dipasang di Melaka di bawah RP2 Fasa 1 dalam 2018 sementara 1.2 juta lagi akan dipasang menjelang 2020 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya/Cyberjaya di bawah Fasa 2.

"Kami menyokong sepenuhnya langkah ini, dan RM1.2 bilion akan dibelanjakan untuk ini dalam tempoh tiga tahun (dari 2018 hingga 2020) di bawah RP2.

"Sementara 9.1 juta rumah kediaman dijangka dipasang dengan meter pintar menjelang 2026 (RP4),” katanya pada sidang akhbar selepas satu taklimat media TNB mengenai pemasangan meter pintar itu di sini hari ini.

Ditanya sama ada kos meter pintar akan berubah menjelang 2026, Roslee berkata beliau positif bahawa harga akan turun berdasarkan kemajuan teknologi.

“Kos RM1.2 bilion (kos RP2) adalah berdasarkan teknologi semasa. Harga (meter pintar) dari RP2 hingga RP4 akan menurun sewajarnya,” kata beliau.

Mengenai perkembangan lain, Pengarah Projek (AMI-Lembah Klang) Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB, Mohamed Ghous Ahmad berkata TNB sudah mendirikan 200 tiang untuk penghantaran data sejak April tahun ini di sekitar Lembah Klang.

“Kami tidak memasang meter pintar lagi kerana kami masih memasang tiang untuk mendapatkan sistem rangkaian. Kami akan memasang 740 tiang lagi secepat mungkin supaya kami boleh mula memasang meter,” kata beliau.

Mengulas berkenaan dakwaan meter pintar mengancam kesihatan, pakar daripada Pusat Komunikasi Wayarles Universiti Teknologi Malaysia, Chua Tien Han menyanggah pandangan sedemikian kerana meter pintar memancarkan paras radiasi yang amat rendah.

Beliau berkata meter pintar menggunakan gelombang frekuensi radio, sama seperti telefon pintar dan pendedahan radiasi adalah sangat kecil sebagai perbandingan.

“Jangan risau, meter pintar adalah selamat. Itu adalah persepsi umum, mereka fikir teknologi baharu akan mempunyai radiasi yang tinggi. Sebenarnya tidak,” katanya.

Turut hadir pada taklimat media itu Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Roslan Ab Rahman.

Dalam ucapan pembukaannya, Afifah berkata pemasangan meter pintar juga akan melonjakkan ekonomi negara kerana ia membuka peluang pelaburan untuk syarikat melibatkan diri dalam inisiatif itu, pada masa yang sama menjana 5,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata meter pintar juga diguna pakai di beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Jepun.

Sumber: Bernama


from The Reporter https://ift.tt/2mtnCSY
via IFTTT