Air bercampur darah yang melimpah dari mangkuk tandas membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat di Terminal Sentral Kuantan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mayat mangsa ditemui oleh kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada jam 9.50 pagi ketika dia masuk ke tandas yang terletak di tingkat satu.
Saksi ternampak salah satu mangkuk tandas dalam keadaan bertutup lalu mengempam tandas itu dan terkejut apabila melihat air bercampur darah keluar dari tandas tersebut.
Saksi yang menyangka tandas itu tersumbat, kemudian memanggil tukang cuci untuk membuat pemeriksaan. Apabila mereka cuba mengeluarkan objek yang tersumbat itu menggunakan dawai, mereka mendapati ada uri dan tali pusat di dalamnya.
Susulan penemuan itu, polis membuat pemeriksaan terhadap video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang wanita berada dalam keadaan mencurigakan di dalam tandas itu selama 30 minit sebelum keluar dengan memakai baju kurung.
Suspek kini sedang diburu dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Mayat bayi yang dianggarkan lahir tidak cukup bulan itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2m3jKYi
via IFTTT