Seorang ibu mendedahkan bagaimana suaminya merogolnya setiap minggu selama 10 tahun, di hadapan anak-anak mereka.
Jane Hanmore, 35, dari Poole, Dorset, diserang secara seksual dan fizikal oleh suaminya, Brian Hanmore, 40. Pada Januari 2018, Hanmore didapati bersalah di atas tuduhan merogol dan dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun.
Jane, pembantu penjagaan kesihatan berkata, dia berkongsi mengenai kejadian itu kepada orang lain bahawa mangsa keganasan rumah tangga boleh membina semula kehidupan mereka dan tidak pernah terlambat untuk mendapatkan keadilan.
Difahamkan, Jane mengenali Hanmore pada 2001, tetapi setahun kemudian, lelaki itu menderanya secara mental dengan memanggilnya gemuk dan pemalas.
"Apabila bayi lelaki kami berusia lima bulan, dia merogol saya untuk pertama kalinya apabila saya menolak untuk melakukan hubungan intim dengan dia. Selepas kejadian itu, saya rasa malu dan menjijikkan.
"Satu hari itu, anak masuk ke dapur di mana Brian sedang merogol saya ketika saya sedang berdiri di sinki. Apabila anak bertanya kenapa saya menangis, saya berbohong dan berkata jari saya terhiris pisau.
"Kemudian saya suruh mereka pergi ke ruang tamu.
"Saya terlalu takut nak beritahu orang mengenai apa yang berlaku dan Brian membuatkan saya rasa tiada sesiapa yang akan percaya dengan saya," katanya.
Pasangan itu berkahwin pada 2010, tetapi dua tahun kemudian di Januari 2012, Jane mengambil keputusan untuk meninggalkan Hanmore.
Bagaimanapun, Hanmore masih tinggal di rumah itu, berpura-pura masih menjadi suami kepada Jane di hadapan anak-anaknya. Sehinggalah pada April 2012, Hanmore keluar tetapi dia tidak mahu meninggalkan Jane dan sanggup memecah masuk ke rumah itu dan kerap menghubungi Jane.
Pernah sekali Hanmore menceroboh masuk ke rumah dan enggan beredar. Apabila Jane meminta dia keluar, dia mencekik mangsa dan rambutnya ditarik serta diseret ke ruang tamu.
Mujur dua anak mangsa yang berusia 12 dan 14 tahun terdengar jeritan ibu mereka terus bergegas menghubungi polis.
Hanmore ditahan dan pada Januari 2014, dia mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dikenakan.
Tidak serik, Hanmore sekali lagi mengganggu mangsa dengan membuat panggilan telefon, mesej dan merayu agar Jane menerimanya kembali.
Jane kemudian membuat laporan mengenai Hanmore yang pernah merogolnya dan bertindak di atas laporan itu, Hanmore sekali lagi ditahan dan mengaku bersalah di atas lima pertuduhan rogol, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun.
Sumber: Daily Mail
from The Reporter https://ift.tt/2IbYlnV
via IFTTT