'Maaf ya, ada 1E borang pun kami tak bagi' - Kerana ada 1E dalam UPSR, pelajar ini tak diterima ke mana-mana sekolah agama
Keputusan UPSR bagi tahun 2019, baru sahaja diumumkan hari ini. Sudah pastinya pelbagai reakasi yang terpancar di wajah para pelajar. Dengan keputusan itu juga bakal menentukan sekolah mana yang bakal mereka tuju untuk sesi persekolahan bagi Tingkatan Satu dan seterusnya.
Di dalam keghairahan ibu bapa bercerita tentang kecemerlangan anak-anak masing-masing, ada juga ibu yang menanggung kesedihan. Bukan kerana keputusan peperiksaan anaknya, tetapi penerimaan sesetengah pihak dengan keputusan UPSR anaknya yang lalu.
KERANA 1E… 12hb Mac 2019 adalah hari terakhir Abang Faris bersekolah di sini. Hari terakhir sarung uniform sekolah dan hari terakhir juga ibu meredah jalan raya dalam takut-takut merempit hantar Abang Faris menuntut ilmu. Berhenti sekolah. Ya Abang Faris berhenti sekolah.
Sebaik keputusan peperiksaan UPSR diperolehi, kami suami isteri menaiki motosikal ke sebuah sekolah agama di Tampin. Dalam perjalanan sekejap hujan sekejap panas akhirnya kami sampai juga. Kerani bertanyakan keputusan UPSR Faris.
"Maaf ya, ada 1E borang pun kami tak bagi"
"Tapi UPKK-nya 7A 1B, PAJSK-nya bagus," kataku.
"Maaf ya, kami tetap tengok keputusan UPSR. PAJSK pun kami tak kira"
Dalam hati tertanya-tanya untuk apa PAJSK ini kalau UPSR juga dipandang? Untuk apa UPKK 7A 1B ini kalau keputusannya tak dijeling? Untuk apa ujian J-Qaf tertera mumtaz di sijilnya? Untuk apa aktif mewakili sekolah kalau semuanya hanya kertas yang tak berguna?
Berkuasa sungguh 1E ni. Jangankan nak mohon, borang pun tak dapat nak pegang. Apa yang E? Bahasa Inggeris, penulisannya E.
Kami tak patah semangat. Langkah diatur ke sekolah agama yang kedua. Ya dapat borangnya. Syaratnya tiada E. Tapi kami cuba, tak dapat juga. Saya menulis surat rayuan, tiada balasan. Mesej pertanyaan adakah rayuan saya diterima juga tiada balasan. Sekadar blue tick.
Akhirnya saya hubungi sekolah. Sekolah kata hubungi pengetua dan jawapannya tiada pengambilan pelajar lelaki lagi. Sekolah agama yang kedua pun begitu juga. Jawapan sama. Dukacita beritanya. Saya beritahu Faris, tak dapat sekolah agama. Dia termenung, sedih. Itu kemahuannya. Bersekolah di sekolah agama. Minatnya lebih kepada agama. Jadi saya cuba mohonkan untuk dia.
Setelah tak dapat ke mana-mana, Faris ke sekolah harian biasa. Namun usaha saya tidak berakhir di situ saja. Saya bertemu guru di sekolah itu dengan harapan dapat mohon aliran KAA (kelas aliran agama). Jawapan hampa. Katanya ada ramai lagi senarai menunggu, sedangkan saya tak buat permohonan pada mulanya.
Saya tak mohon kerana Faris berhasrat untuk tinggal di asrama sebagaimana abangnya. Oleh sebab itu saya tak mohon pun aliran KAA .Tak melalui proses temuduga dan sebagainya. Tak mengapa. Saya masih mengambil masa.
28 haribulan Februari saya ke PPD. Dilayan sangat baik di sana. Saya bertanya bolehkah Faris memohon aliran KAA di sekolahnya. Katanya tiada masalah kerana UPKKnya bagus. Lalu dia menghubungi pihak sekolah dan memaklumkan permohonan saya. Saya bergegas pula ke sekolah. Saya diminta membuat surat rayuan.
Keesokan harinya saya datang lagi bertemu pengetua bersama surat rayuan, kemudian Faris perlu melalui ujian bertulis dan hafazan. Pagi itu juga Faris dipanggil untuk melalui ujian tersebut tanpa apa-apa persediaan. Sehari selepas ujian, saya mesej guru yang menjalankan ujian. Blue tick saja. Mesej saya tidak berbalas, mungkin sibuk agaknya. Bisik hati saya.
Seminggu berlalu. Tiada jawapan. Saya tidak sabar menunggu keputusan. Terlalu lama dirasakan, lantas saya menghubungi beliau. Katanya Faris tidak diterima kerana ada E. Ya ada E. Satu saja E. Itulah penulisan bahasa inggerisnya E. Bukan bahasa Melayu, bukan matematik, bukan juga sains. Tapi E untuk bahasa inggeris penulisan.
Kerana 1 E itu, dia gagal lagi untuk menempatkan diri di kelas aliran agama. Saya tertanya tanya. Adakah aliran agama itu diajar dalam bahasa inggeris??? Saya sampaikan berita sedih kepada Faris. Permohonannya di tolak. Jawapan yang saya terima dari anak ini.
"Faris nak masuk tahfiz"
Saya tenung wajahnya, tiada riak kecewa. Tapi tegas suaranya. Nekadkah dia?
"Ibu nak ambil adik sekolah. Faris fikir dulu betul-betul"
Balik dari sekolah, saya panggil dia.
"Faris"
"Tahfiz"
Jawabnya pendek, ringkas, padat. Ya dia nekad. Saya hantar adiknya ke kafa, petang yang sama saya pergi ke tahfiz berdekatan. Meninjau-ninjau kalau kalau ada tempat untuk Faris. Alhamdulillah masih ada kekosongan. Bulanannya RM150. Akan kami usahakan. Belajar kitab dan hafazan Al Quran tetapi tiada akademik di sini. Tak mengapa. yang penting minat dan kemahuan Faris kami sokong saja.
Ahad berikutnya kami bawa Faris ke pusat tahfiz untuk menjalani sesi temuduga lisan, hafazan, bacaan dan bertulis. Beberapa hari penuh debaran menanti keputusan. Alhamdulillah syukur Faris melepasi ujian.
"Faris, Faris dapat tau tahfiz tu"
"Ye ke bu? Alhamdulillah.. Alhamdulillah" sambil dia menekup mukanya.
"Faris tak sabar nak botak bu"
Senyum panjang dia. Alhamdulillah, syukur. Tak apa Faris. Jangan bimbang jika manusia tak terima kita. Tapi bimbanglah jika Allah tak terima kita. Syukur Alhamdulillah, tercapai hajat Faris nak sekolah agama. Belajar agama.
Pagi esoknya saya bawa Faris ke pusat Tahfiz. Melihat asramanya, bertemu kawan-kawan barunya. Saya tanya. “Apa cita-cita Faris? Doktor yang hafiz Al Quran ke?”
"Faris nak jadi imam"
Aamiinn ya rabbal alamin. Nanti doakan ibu ya, doakan ayah. Teruskan perjalanan Faris. Susah payah akan kami usahakan. Semoga impian Faris jadi kenyataan. Aamiinn. E bukan bermakna semua akan berakhir. Moga E itu adalah satu perjuangan ke arah kemenangan.
Kita dah berusaha, kita dah cuba sedaya upaya. Jika tertulis bukan rezeki kita, tetap bukan jadi milik kita. Tapi jika Allah dah tetapkan situ tempatnya, tiada siapapun dapat mengubahnya.
Allah dah susun cantik perjalanan hidup Faris. Moga pengakhiran juga seindah perjalanan yang telah Allah aturkan. Semoga di tahfiz itu menjadikan Faris lebih baik bacaan dan hafazan.
Faris memang anak baik, tidak pernah tinggikan suara pada ibu. Ibu redha ke atas Faris dunia akhirat. Ya Allah, jagakan dia untukku Apa saja yang ditakdirkan untuknya, takdirkan jua dengan segala kebaikan, kesenangan dan kemudahan di sepanjang kehidupan dunia akhiratnya.
Sumber: Juraini Kadir
from The Reporter https://ift.tt/2qz3dOf
via IFTTT