Murid maut, leher terjerut baju hujan yang tersangkut pada sprocket motosikal


Seorang murid tahun empat maut apabila lehernya terjerut akibat dari baju hujan yang dipakainya tersangkut bahagian sprocket motosikal yang diboncengnya. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.15 pagi hari ini di Kampung Gong Tanah Merah, Jertih, mangsa, Tuan Nur Irdina Najwa Tuan Rosli, 10 membonceng motosikal Honda RS150R yang ditunggang oleh ibu saudaranya. 

Sebelum kejadian itu, mangsa menemani ibu saudaranya itu ke satu majlis dan dalam perjalanan ke Kampung Darau dari arah Kampung Gong Nering. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sebaik saja tiba di lokasi kejadian, baju hujan yang dipakai mangsa secara tiba-tiba tersangkut pada bahagian sprocket menyebabkan mangsa terjatuh. 

"Baju hujan dipakai kemudian menjerut leher mangsa dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ibu saudaranya tidak mengalami kecederaan," katanya. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat yang kemudian mengesahkan mangsa maut akibat lehernya parah terjerut baju hujan. 

Sementara itu, nenek mangsa, Haminah Awang Ahmad, 67, reda dengan kejadian itu dan memaklumkan mangsa adalah anak yang baik, mudah mendengar nasihat dan sangat menjaga solatnya sejak berusia tujuh tahun. 

"Malam tadi dia mahu tidur bersama makciknya, tetapi saya pujuk tidur bersama saya dan pagi dia bangun awal solat Subuh. 

"Malam kelmarin dia ikut saya solat tahajud. Wawa anak yang mudah mendengar nasihat dan sangat menjaga solatnya sejak berusia tujuh tahun. 

"Saya sering hadiahkan telekung padanya supaya dia rajin dan bersemangat jaga solat, katanya. 

Jenazah Wawa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kayu Kelat, Jertih, selepas solat Asar hari ini. 

Sumber: Harian Metro


from The Reporter https://ift.tt/35F5PsO
via IFTTT