Buat aksi 'wheelie' di jalan raya jam 1.20 pagi, penunggang motosikal dipenjara 14 bulan, denda RM5,000


Seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret kerana menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi 'wheelie' di jalan raya. 

Majistret Afiq Agoes menjatuhkan hukuman itu terhadap Adzrul Adzman bermula dari tarikh sabitannya, Khamis. 

Tertuduh diminta membela dirinya bulan lalu apabila pendakwaraya berjaya membuktikan prima facie terhadapnya. 

Azdrul yang didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.20 pagi 12 Ogos di Jalan Kota Kinabalu-Papar berhampiran JKR Putatan, kemudian memohon untuk dibicarakan. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan. 

Afiq berkata, tertuduh melakukan aksi itu tanpa menghiraukan keselamatan dirinya dan juga pengguna jalan raya lain serta menimbulkan bahaya kepada orang ramai.

Alasan tertuduh kononnya dia sedang menguji motosikal itu pada jam 1.20 pagi selepas membaikinya adalah meragukan dan tidak masuk akal. 

Peguam yang mewakili tertuduh, Michelle Rosanna Usman, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu adalah bapa kepada anak lelaki berusia lima tahun dan baru sahaja bekerja dan tidak membahayakan sesiapa. Michella juga berkata, anak guamnya telah direman selama seminggu dan menyebabkan trauma. 

Tambahnya, hukuman penjara bukanlah hukumna yang sesuai dan berharap mahkamah akan mempertimbangkan untuk menjatuhkan hukumanTak  kepada Adzrul untuk melakukan tugas khidmat masyarakat kerana anak guamnya berhak mendapat peluang kedua. 

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa berkata, tertuduh tidak mengambil kira keselamatan awam ketika melakukan aksi berbahaya itu. Selain itu, tertuduh juga mempunyai satu kesalahan pada Jun tahun lalu di bawah Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyertai perlumbaan haram dan didenda RM1,500. 

Oleh itu, beliau berharap mahkamah akan mengenakan hukuman setimpalnya sebagai pengajaran kepada orang lain yang mungkin melakukan kesalahan yang sama. 



from The Reporter https://ift.tt/2Q6SVz4
via IFTTT